Konvensyen PR tidak berani bincang isu peralihan kuasa - pakdin.my

Saifuddin, Mustafa dan Loke dalam sidang media Majlis Setiausaha PR
Saifuddin, Mustafa dan Loke dalam sidang media Majlis Setiausaha PR

Hal Ehwal peralihan kepimpinan dalam mana-mana parti sekutu dalam Pakatan Rakyat (PR) tidak akan dibincangkan dalam konvensyennya yang akan berlangsung 8 Mac ini, kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution.

Sebaliknya kerana menyedari topik peralihan kuasa boleh menjadi isu besar yang berpotensi mencetuskan kontroversi, Konvensyen PR itu hanya akan membincangkan mengenai cadangan mengadakan perhimpunan membantah kenaikan harga barang dan peningkatan kos hidup sempena sambutan Hari Pekerja, 1 Mei nanti.

Malah konvensyen berkenaan juga tidak akan menyentuh soal Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kajang walaupun hari penamaan calon PRK berkenaan hanya berselang tiga hari dengan tarikh konvensyen.

Ini dipercayai kerana isu PRK Kajang ada hubungkait dengan peralihan kuasa pentadbiran kerajaan negeri Selangor ekoran Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan kemungkinan akan diangkat sebagai Menteri Besar meskipun tidak dipersetujui PAS.

“Konvensyen ini tidak akan membincangkan soal peralihan atau pertukaran kuasa, tiada. Kami hanya akan memperjuangkan isu rakyat dan kami juga akan jemput NGO dalam konvensyen kali ini yang mempunyai matlamat yang sama dengan PR.

“Isu PRK di Kajang juga tidak akan dibincangkan dalam konvensyen kali ini, kami cuma akan beri perhatian kepada rakyat dan seiring dengan himpunan yang pernah diberitahu oleh Mat Sabu iaitu himpunan pada 1 Mei nanti, kami akan bincangkan soal itu, sebab ianya berkaitan dengan rakyat,” kata Saifuddin.

Beliau ditemui dalam sidang media Majlis Setiausaha PR di Ibu Pejabat PAS, Kuala Lumpur, Selasa.

“Kami juga akan membawa NGO seperti GERAMM (Gerakaan Media Marah) , TURUN, C4 iaitu pemerhati isu rasuah akan kami berikan slot dalam konvensyen kali ini

“Semua ini akan terangkum dalam majlis ini dan 1,200 perwakilan dan pemerhati yang terdiri dari pimpinan atas dan akar umbi, apabila ia dibentangkan oleh NGO terbabit, mesej akan dapat disampaikan kepada perwakilan,” kata Saifuddin lagi.

Konvensyen sehari itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam mulai jam 8 pagi hingga 4.30 petang.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan juga Setiusaha Agung DAP, Loke Siew Fook.

Pada sidang media yang sama Majlis Setiausaha PR menggesa Pendaftar Pertubuhan (RoS) dan Menteri Dalam Negeri , Datuk Seri Zahid Hamidi agar meluluskan pendaftaran pakatan parti pembangkang itu.

“Sudah lima kali kita berkonvensyen dan sekurang-kurangnya sudah tiga kali kita buat permohonan untuk daftarkan Pakatan Rakyat dengan ROS,” kata Loke.

Mereka menggesa ROS meluluskan pendaftaran mereka sebelum berlangsungnya Konvensyen PR ke-5 itu.

UTAMAPOLITIKKonvensyen PR tidak berani bincang isu peralihan kuasa

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium