Kos RM17,270, jemaah haji hanya bayar RM9,980 #pakdin.my

Tabung Haji Giat Jalankan Ceramah Masyaer

Lembaga Tabung Haji (TH) menampung kos RM7,290 untuk setiap jemaah haji kerana masih mengekalkan caj mengerjakan ibadah haji kepada jemaah pada kadar RM9,980 tahun ini sedangkan kos sebenar meningkat kepada RM17,270.

“Peningkatan kos haji pada tahun ini paling ketara disebabkan peningkatan kos penginapan jemaah. Seperti kita sedia maklum kadar bayaran bagi hotel yang terletak berhampiran dengan Masjidil Haram adalah mahal.

“Bagaimanapun, TH akan sedaya-upaya menempatkan jemaah haji Malaysia di kawasan penginapan yang jaraknya kurang dari satu kilometer,” kata Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tan Sri Ismee Ismail di majlis perasmian Kursus Perdana Haji peringkat Selangor di Masjid Negeri di Shah Alam, Ahad.

Menurutnya, musim haji lalu, Tabung Haji membayar tambahan RM6,175 untuk setiap seorang jemaah berbanding kos haji sebenar sebanyak RM16,155.

Menurutnya, kuota haji tahun ini kekal pada jumlah 22,230 jemaah seperti tahun lalu namun dijangka kembali kepada jumlah asal 27,900 pada tahun hadapan setelah kerja-kerja pembangunan di tanah suci itu siap sepenuhnya.

Kerajaan Arab Saudi sejak 2009 memperuntukkan 27,900 tempat setahun bagi jemaah haji Malaysia namun kouta haji semua negara di seluruh dunia dikurangkan sebanyak 20 peratus sejak 2013 berikutan kerja-kerja pembangunan di Masjidil Haram.

Menurutnya, kumpulan pertama jemaah haji Malaysia akan berlepas ke Arab Saudi mulai 16 Ogos ini dan penerbangan terakhir adalah pada 16 September.

Penerbangan pulang jemaah haji ke Malaysia pula ialah mulai 29 September sehingga 27 Oktober.

Berkaitan