KPF Menjadi Contoh Terbaik Bagi Koperasi - pakdin.my

Ketua Eksekutif Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF), Mazlan A Talib semasa ditemuramah oleh wartawan BERNAMA di pejabatnya di sini, baru-baru ini.
Ketua Eksekutif Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF), Mazlan A Talib

Dahulunya, peranan gerakan koperasi dalam pembangunan negara dipandang remeh oleh segelintir masyarakat. Rata-rata akan beranggapan bahawa penyertaan koperasi dalam ekonomi hanya terbatas kepada aktiviti tradisi pinjam meminjam.

Mentaliti sebegitu perlu diubah kerana pada masa kini gerakan koperasi telah mengorak langkah dengan menceburi pelbagai aktiviti ekonomi antaranya perbankan, kredit, pertanian perumahan, perindustrian, pembinaan, pengangkutan dan perkhidmatan.

Malahan kerajaan juga mengiktiraf gerakan koperasi dengan meletakkan sektor tersebut sebagai penyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan sasaran lima peratus pada 2013 kepada 10 peratus menjelang 2020.

Kerajaan juga berusaha melakukan transformasi ke atas koperasi untuk menjadi suatu entiti perniagaan yang lebih besar serta mampu meningkatkan pendapatan anggotanya.

Transformasi sektor koperasi ini mampu dilihat dengan pencapaian cemerlang Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF).

KPF adalah antara 9,476 koperasi yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang berjaya membuktikan keupayaannya melalui pelbagai pencapaian cemerlang.

PENUBUHAN KPF TANDA PERIHATIN TERHADAP PENEROKA FELDA

Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad atau lebih dikenali dengan nama singkatannya KPF ditubuhkan pada 1 Julai 1980 di bawah Ordinan Koperasi-Koperasi Tahun 1948 dengan nombor pendaftaran Koop Negara No. 39.

Penubuhan KPF adalah hasil inisiatif daripada Lembaga Felda yang bermesyuarat pada 1980 dan mencadangkan Felda perlu menubuhkan koperasi untuk kepentingan warga peneroka dan petugas Felda.

Menurut Ketua Eksekutif Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad, Mazlan A Talib, penubuhan KPF pada dasarnya adalah untuk menjadikan KPF sebagai wadah simpanan dan pelaburan anggota warga Felda.

“Penubuhan KPF ini telah memberi peluang kepada peneroka untuk berkongsi kekayaan yang akan diperoleh oleh Felda dengan turut memiliki ekuiti dalam syarikat-syarikat yang ditubuhkan Felda pada masa itu,” katanya.

BILANGAN ANGGOTA

Berhubung dengan keanggotaan, Mazlan berkata bilangan yang menyertai KPF menunjukkan peningkatan yang ketara.

Pada tahun 2007, KPF dianggotai kira-kira 186,000 orang dan meningkat kepada 196,000 orang pada tahun 2008 iaitu penambahan 10,000 orang.

“Kemampuan KPF mempertahankan pulangan dividen kepada anggota antara 10 hingga 15 peratus terus menarik minat warga Felda terutama generasi baru peneroka untuk menyertai anggota KPF.

Dengan sokongan terhadap Felda yang sentiasa menyokong usaha KPF, keanggotaan KPF terus melonjak kepada lebih 254,000 anggota pada tahun ini dengan pemilikan modal syer mencecah kepada RM2.1 bilion. Nilai aset turut berkembang kepada RM2.9 bilion,” katanya.

Mengenai kelayakan untuk menjadi anggota KPF, Mazlan berkata individu tersebut perlu terdiri daripada keluarga peneroka dan keluarga kakitangan Felda, yang berjawatan tetap.

PELABURAN FOKUS UTAMA

Jika koperasi tradisional menjalankan perniagaan runcit sebahagian aktiviti utama, berlainan pula dengan KPF. Menurut Mazlan fokus utama KPF adalah membuat pelaburan dalam aktiviti ekonomi yang mampu menjana pendapatan dan pulangan stabil kepada anggotanya.

“Aktiviti pelaburan KPF mencakupi pelbagai sektor antaranya perkhidmatan, kepenggunaan, hartanah, pembinaan dan kewangan,” katanya.

Contohnya, KPF telah melantik KPF Saudi Global Limited iaitu anak syarikat kumpulan KPF Holding untuk mengurus aset hartanah KPF di Mekah.

“KPF telah menyewa sebuah hotel di Mekah yang dinamakan Dar Um Hane yang terdiri daripada 11 tingkat bangunan dan dilengkapi 97 bilik. Hotel ini terletak kira-kira 300 meter dari Masjidil Haram,” katanya lagi sambil menambah bahawa KPF sentiasa mencari peluang perniagaan yang berpotensi memberi pulangan kepada anggotanya.

Selain KPF Saudi Global Limited, KPF mempunyai anak syarikat yang terlibat dalam industri ternakan ayam telur.

“Ladang telur ayam yang diuruskan KPF Farming Sdn Berhad mampu mengeluarkan 180,000 ke 190,000 biji telur sehari,” katanya.

Menurut Mazlan, KPF juga mempunyai 52 kaunter aktif di Bursa Malaysia untuk menjalankan aktiviti jual beli saham. Jumlah pelaburan KPF di Bursa Malaysia dianggarkan bernilai RM600 juta.

Selain itu, KPF membuat pelaburan di beberapa syarikat misalnya memegang 20 peratus ekuiti dalam syarikat Power Root, 20 peratus ekuiti dalam Malayan Sugar Manufacturing (MSM) dan menerokai peluang perniagaan di negara jiran seperti di Indonesia.

“KPF melihat peluang perniagaan yang cukup luas di Indonesia. Pada masa ini, KPF bekerjasama dengan P.T Malindo Feedmill iaitu sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan penyediaan makanan penternakan ayam dan lembu,” katanya.

PENCAPAIAN CEMERLANG

Mengenai kejayaan KPF, Mazlan berkata, ia bukan satu perjalanan yang mudah untuk berada pada tahap sekarang.

Namun berkat usaha keras, perancangan yang jitu serta sokongan daripada anggotanya, kini setelah 32 tahun berjuang, dan pelbagai kejayaan ditempa telah meletakkan KPF pada satu tahap yang membanggakan.

Pada tahun 2011, KPF telah meraih dua pengiktirafan di atas kecemerlangannya iaitu Anugerah Pertama Koperasi Cemerlang (KlusterBesar) 2011 dan penarafan sebagai Koperasi 5 Bintang 2011 oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

“Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah memberikan pengiktirafan lima bintang kepada KPF berdasarkan kaedah penilaian flame-t yang merangkumi penilaian dalam aspek kewangan, likuiditi, aset, pengurusan dan teknologi maklumat,” katanya.

Secara statikalnya KPF mengungguli sebagai koperasi kedua yang mempunyai bilangan anggota teramai, modal syer dan nilai aset terbesar selepas Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat).

Berkenaan kerjasama KPF dengan bank-bank koperasi lainnya, Mazlan berkata, pada masa ini KPF mempunyai RM51 juta syer dalam Bank Rakyat dan adalah koperasi yang mempunyai syer terbesar di Bank Rakyat.

“KPF juga merancang untuk bekerjasama dengan bank persatuan. Usaha ke arah itu telah dilakukan dengan meletakkan kira-kira RM1 juta syer di bank persatuan,” katanya.

Mazlan berkata, kemampuan KPF memberikan pulangan yang tinggi kepada anggota koperasi adalah kejayaan terbesar KPF. Pada tahun 2007, KPF telah membuat pembayaran dividen sebanyak 16.5 peratus, 12.5 peratus (2008), 14 peratus (2009) dan 15 peratus (2010).

Pada tahun lepas sebanyak 18 peratus atau kira-kira RM340.1 juta dividen dibayar kepada anggota koperasi dan jumlah perolehan KPF bagi tahun tersebut dianggarkan RM691 juta.

PERANCANGAN UNTUK TERUS BERKEMBANG

Mazlan berkata, KPF kini dalam proses membuat penyusunan semula operasi perniagaannya bagi memperkukuhkan lagi KPF.

Beliau berkata, KPF sedang bergerak untuk menjadi bank koperasi menjelang 2018, dan menambah bahawa koperasi itu telah memulakan aktiviti pengambilan deposit daripada anggota dan syarikat-syarikat koperasi.

Susulan itu, KPF kini mula menjalankan perbankan runcit. Di bawah perbankan runcit, KPF menjalankan aktiviti pengambilan deposit daripada anggota dan syarikat-syarikat koperasi.

Selain itu, KPF menjalankan pembiayaan patuh Syariah yang menawarkan pembiayaan peribadi, pembiayaan umrah, pembiayaan pembelian kenderaan iaitu untuk motosikal dan pembiayaan korporat.

“Pembiayaan korporat bertujuan untuk membantu anggota koperasi dan syarikat-syarikat di bawah KPF untuk mendapatkan modal berniaga,” kata Mazlan.

Pada tahun depan, KPF merancang membuka pajak gadai Islam Ar-Rahnu. Menjelang 2013 sehingga 2014, KPF memperuntukkan RM80 juta untuk membuka 15 cawangan pajak gadai Islam Ar-Rahnu.

Menyedari sektor peladangan mampu memberi pulangan yang menguntungkan, KPF merancang untuk memiliki ladang sawit dan getah.

“Bagi KPF menjalankan aktiviti perladangan merupakan satu pelaburan yang selamat untuk jangka masa panjang dan berpotensi besar,” kata Mazlan.

KPF turut mempelbagaikan aktiviti pelaburannya dengan menerokai bidang hartanah. Kini KPF telah memiliki beberapa aset hartanah antaranya The Icon di Jalan Tun Razak, Southgate di Sg Besi dan sedang membangunkan hotel di Bangi yang mempunyai 300 bilik hotel dan 200 bilik apartmen yang dijangka siap pada 2014.

PENGLIBATAN GENERASI BARU DALAM KOPERASI

Mazlan berkata kesedaran untuk melibatkan diri dalam aktiviti koperasi perlu disemai dalam kalangan generasi muda pada peringkat sekolah lagi.

“Sekiranya mereka memahami konsep berkoperasi, barulah mereka berminat untuk melibatkan diri dalam aktiviti koperasi selepas tamat sekolah,” katanya sambil menambah bahawa usaha bagi memupuk kesedaran berkoperasi bukanlah sesuatu yang mudah dan mampu diperoleh dalam masa yang singkat.

Menurut Mazlan, anggota koperasi perlu mempunyai pandangan bahawa pelaburan adalah satu daripada sumber pendapatan. Dalam koperasi, anggota perlu melabur untuk mendapatkan manfaat dan keuntungan.

Kejayaan dan pelbagai pencapaian yang telah diraih oleh KPF diharap mampu memberi kesedaran dan suntikan semangat kepada generasi baru untuk turut dalam aktiviti koperasi.

UTAMAKPF Menjadi Contoh Terbaik Bagi Koperasi

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium