KPN: Jangan jadikan gurauan isu keganasan - pakdin.my

KPN-IS-keganasan

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang cuba membuat dakwaan, kenyataan atau khabar angin berhubung isu keganasan kumpulan militan susulan pengeboman berani mati yang berlaku di Jakarta, Indonesia minggu lalu.

Khalid berkata, kenyataan atau khabar angin seum­pama itu bukan sahaja boleh disalah tafsir oleh ramai pihak malah turut menggugat ketenteraman awam penduduk negara ini.

Katanya, pihak-pihak tertentu seharusnya berfikir panjang sebelum menyuarakan atau menyebar sesuatu isu berkaitan keganasan di negara ini kerana perkara sedemikian begitu sensitif.

“Setiap orang harus sensitif dengan perkara ini dan tidak membuat dakwaan-dakwaan ter­tentu yang akhirnya menimbulkan keresahan kepada masyarakat. Jangan jadikan perkara ini sebagai gurauan.

“Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memantau perkara ini dan tindakan akan diambil kerana kami sendiri telah mengeluarkan amaran sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Khalid memberitahu, tiada pihak yang terke­cuali dikenakan tindakan termasuklah kenamaan, portal atau media jika didapati cuba untuk menimbulkan keresahan terhadap orang awam.

Ujar beliau, fokus utama PDRM adalah untuk menangani khabar angin di dalam media sosial dan pemantauan ketat akan dilakukan setiap masa.

“Bukan sekadar isu fitnah memfitnah atau khabar angin sahaja malah kita akan turut memberi perhatian terhadap mereka cuba melakukan kegiatan keganasan dan militan juga.

“Jika ada pihak masih berdegil, tunggu dengan tindakan yang akan diambil selepas ini,” ujarnya.

Mengulas tentang isu keganasan, Khalid sekali lagi menegaskan, Malaysia mempunyai undang-undang yang cukup dan kuat untuk memerangi keganasan melibatkan kumpulan militan di negara ini.

Katanya, undang-undang seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Jenayah 2013 (POCA) dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) akan digunakan untuk menghalang kebangkitan pihak-pihak ekstremis yang cuba menghuru-harakan negara.

“Akta Majlis Keselamatan Negara 2015 masih belum diwartakan lagi tetapi undang-undang yang sedia ada negara ini adalah cukup untuk memerangi IS,” katanya.

Semalam, PDRM menegaskan pihaknya tidak pernah mengeluarkan kenyataan secara spesifik mengenai lokasi-lokasi yang menjadi sasaran pengganas.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Datin Asmawati Ahmad berkata, kenyataan Ketua Polis Negara dua hari lalu hanya menyatakan pihak polis akan mempertingkatkan pengawasan dan kawalan keselamatan di tempat tumpuan awam.

UTAMABERITAKPN: Jangan jadikan gurauan isu keganasan

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium