Krisis MB Selangor: Anwar hampir pasti pecat MB Selangor minggu ini - pakdin.my

khalid ibrahim-anwar ibrahim

Belum sempat Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjawab surat tunjuk sebab PKR, parti itu sudah mempamerkan kegelojohan untuk memecatnya.

Walaupun beliau diberi tempoh sehingga Jumaat untuk berbuat demikian, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah membayangkan akan memecat bekas Abdul Khalid secepat mungkin bagi memberi laluan kepada isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Memetik satu kenyataan Anwar hari ini, beliau berkata, semua parti komponen PR mesti menghormati setiap keputusan yang dibuat oleh gabungan parti.

Ini bererti sesiapa yang engkar termasuk menteri besar Selangor yang sedia ada akan dipecat selepas parti itu menyerahkan surat tunjuk sebab.

“Persefahaman akan hak lantikan Menteri Besar Selangor telahpun wujud di kalangan pimpinan PR, sepertimana PKR juga telah bersetuju akan hak parti-parti lain dalam membuat keputusan yang sama di negeri-negeri lain.

“Setiap parti di dalam gabungan ini wajib menghormati sebarang keputusan yang dicapai selepas rundingan bersama. Kegagalan untuk menghormati dan menunaikan kewajipan ini bakal memaksa kita membuat beberapa keputusan yang sukar,” katanya.

Pada masa yang sama beliau mendakwa PKR dan PAS tidak akan berpecah dari gabungan semata-mata kerana isu menteri besar Selangor yang dibangkitkan baru-baru ini.

“PR tidak akan berpecah semata-mata kerana pilihan calon menteri besar. PR boleh dan akan hanya berpecah sekiranya ada parti komponennya yang sanggup berkompromi dalam prinsip-prinsip dasar seperti kewibawaan, ketelusan dan kebertanggungjawaban di dalam pengurusan kerajaan.

“Kita yakin bahawa isu ini akan diselesaikan dengan baik sesuai dengan semangat PR, sama ada diselesaikan melalui proses peralihan yang lancar, undi tidak percaya mahupun pilihan raya,” katanya lagi.

Terdahulu daripada itu, Abdul Khalid sudah menjelaskan kepada umum bahawa beliau tidak akan meletak jawatan atas sebab politik kerana mempunyai tugas pentadbiran yang perlu diselesaikan sehingga tamat penggal.

Katanya, beliau tidak akan campuradukkan isu politik dengan pentadbiran negeri kerana setiap perancangan yang dilaksanakan telah mendapat mandat Dewan Undangan Negeri (DUN) yang memegang kuasa legislatif.

Pada masa yang sama beliau memikul amanah daripada Sultan Selangor dan juga seluruh rakyat Selangor yang mana amanah itu tidak boleh dan tidak akan dikhianatinya. Jika kewibawaannya dalam mentadbir negeri dipersoal, maka pihak yang mendakwa perlu mengemukakan bukti.

Dalam kes ini PKR bukan saja tidak mahu mengemukakan bukti salah laku dan penyelewengan menteri besar Selangor kepada SPRM, sebaliknya memberikan surat tunjuk sebab mengapa enggan lepaskan kerusi itu sebagaimana yang dijanjikan dalam majlis pemimpin PR.

Persoalan, apakah Anwar dan kroninya mahu mendengar alasan Abdul Khalid? Sudah tentu surat itu sekadar formaliti dan akhirnya parti akan membuat keputusan memecat Abdul Khalid mengikut tatacara parti.

Selepas itu, PKR dan DAP akan memaksa PAS bersatu hati dan pendapat supaya memaksa Abdul Khalid meletakkan jawatan menteri besar kerana sudah tiada jawatan dalam parti dan tidak boleh menjadi menteri besar atas tiket bebas.

Penyudahnya akan diadakan pilihan raya negeri gara-gara karenah PKR yang tamak kuasa dan keras kepala. Ketika itu wang rakyat akan dibazirkan semata-mata untuk memilih siapa lebih layak menjadi menteri besar Selangor.

PKR yang selama ini mendakwa kerajaan membazir wang rakyat setiap kali mengadakan pilihan raya, kini kena telan semula `ludah’ dan terpaksa berdepan dengan kehancuran parti itu sendiri dalam tempoh terdekat.

UTAMAPOLITIKKrisis MB Selangor: Anwar hampir pasti pecat MB Selangor minggu ini

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium