Krisis MB Selangor: PAS boleh kalah malah lenyap di Selangor jika diadakan PRN - pakdin.my

KhalidSamad

PAS bakal berdepan kesukaran, malah kemungkinan besar akan kalah jika Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dibubarkan dalam waktu terdekat bagi memberi laluan diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk menyelesaikan kegawatan politik negeri itu akibat perebutan jawatan Menteri Besar yang ketika ini disandang Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Malah ahli Parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad yakin parti yang dianggotainya itu akan tumbang berkata jika benar-benar mengambil keputusan keluar dari Pakatan Rakyat (PR) kerana tidak bersetuju Abdul Khalid digulingkan.

“Bacaan saya memang sukar khususnya bagi PAS kerana pada masa itu kita akan dilihat bersama Tan Sri Khalid dan UMNO…pada masa itu memang susah buat PAS,” katanya ketika diminta mengulas mengenai tahap kesediaan PAS dalam menghadapi PRN Selangor.

PAS Selangor dari awal tegas menyatakan pendirian menyokong Khalid kekal selaku Menteri Besar negeri itu hingga tamat penggal mandat Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13).

Bagaimanapun Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat berkeras mahu isterinya yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail mengambil alih jawatan menteri besar selepas berjaya menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang Mac lalu.

Khalid yang ditemui pada sidang media di pejabatnya di pusat perkhidmatan ahli Parlimen PAS Shah Alam, Selasa, berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Anwar yang mengumumkan PR kini bersedia menghadapi pengundi bagi mendapatkan mandat baru memerintah Selangor jika diadakan PRN.

Sebelum itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar pada Isnin juga menegaskan pihaknya sudah bersedia untuk menghadapi apa saja kebarangkalian yang boleh berlaku pada bila-bila masa berhubung kemelut politik perebutan jawatan menteri besar dalam kerajaan PR negeri itu.

Menurut Noh ia termasuklah PRN melalui pembubaran DUN, pemilihan dan pelantikan menteri besar baru, usul undi tidak percaya di DUN mahupun jika Khalid kekal memegang jawatan berkenaan.

Beliau mengadakan sidang media pada Selasa susulan penyebaran sedutan isi perbualan dalam aplikasi kumpulan (group) Whatsapp membabitkan AJK PAS Pusat berkaitan kemelut jawatan menteri besar yang mencetuskan kontroversi.

Kandungan perbincangan dalam kumpulan yang mempunyai 47 ahli itu antara lain menyebut PAS mampu mengekalkan penguasaan di Selangor jika keluar dari PR ekoran pertelagahan pendirian dalam isu menteri besar.

“Kalau kita keluar PR kita boleh retain Selangor malah untuk seterusnya. Kita 15 kerusi+TSKI (Tan Sri Khalid Ibrahim)+seorang lagi ADUN PKR+12 (ADUN) UMNO, dah bentuk simple majoriti. UMNO dalam kenyataannya mutakhir ini boleh terima TSKI jadi MB,” antara petikan isi perbincangan yang didakwa disuarakan Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS (PP), Dr Zuhdi Marzuki

Ekoran pendedahan kandungan perbincangan Whatsapp itu, PAS diselar PKR dan DAP, dua parti sekutunya dalam PR.

Khalid juga percaya perkara itu mewujudkan persepsi buruk terhadap imej PAS di kalangan rakyat di Selangor.

“Ini adalah kerana mesej berkenaan memberikan gambaran bahawa PAS bersedia untuk mengkhianati pengundi-pengundinya dengan meninggalkan PR dan bersekedudukan dengan UMNO!” kata Khalid.

UTAMAPOLITIKKrisis MB Selangor: PAS boleh kalah malah lenyap di Selangor jika diadakan...

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium