Ku Li nyatakan pendirian sokong kepimpinan Najib

Segala persoalan mengenai pendirian sebenar Tengku Razaleigh Hamzah sama ada menyokong atau tidak kepimpinan Perdana Menteri akhirnya terjawab.

Ia selepas beliau turut sama menandatangani Deklarasi Kelantan yang menyatakan sokongan penuh kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau yang juga dikenali sebagai Ku Li bersama-sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamad, serta Tan Sri Annuar Musa dan pimpinan UMNO negeri itu kemudian menyerahkan deklarasi berkenaan kepada Najib.

Dalam pertemuan yang dianggap sebagai cukup simbolik di bangunan Parlimen itu, mereka turut membincangkan pelbagai isu semasa rakyat Kelantan untuk dibawa pertimbangan Presiden UMNO yang juga Menteri Kewangan.

Juga diutarakan soal permohonan untuk pembesaran lapangan terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa, projek lebuh raya Gua Musang ke Kota Bharu serta Stadium Sultan Mohamad IV.

Sebelum ini nama Ku Li disebut-sebut turut menandatangani Deklarasi Rakyat yang diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama-sama dengan puak pembangkang.

Malah nama bekas Menteri Kewangan dan veteran UMNO itu turut diumumkan oleh pengacara ketika majlis tandatangan deklarasi tersebut baru-baru ini sekalipun beliau sebenarnya langsung tidak pun hadir ke situ.

Malah Ahli Parlimen Gua Musang itu pernah menegaskan bahawa beliau tidak terlibat bahkan tidak mahu dirinya turut diheret sama dalam isu deklarasi berkenaan.

Untuk rekod, beliau pernah mencabar Tun M untuk merebut jawatan Presiden UMNO pada 1987 hingga membawa kepada pengharaman parti tonggak BN itu setahun kemudiannya.

Anggota Parlimen paling lama berkhidmat di Malaysia itu dianggap seteru kuat politik Tun M yang pernah menubuhkan Semangat 46 sebelum parti serpihan tersebut dibubar pada 1996 dan menyertai UMNO semula.


Comments (No)

Leave a Reply