‘Kurang wajar’ Hadi komen bagi pihak Umno, kata Shahril - pakdin.my

Seorang pemimpin Umno menegur Abdul Hadi Awang susulan kenyataannya mendakwa majoriti anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno cenderung supaya dua parti itu terus bekerjasama menerusi Muafakat Nasional (MN).

Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan menyifatkan kenyataan Hadi itu sebagai “tidak wajar”.

“Sepertimana tidak wajar saya mengajar PAS tentang hal dalaman PAS, saya berharap kepimpinan PAS juga menghormati ‘decorum’ dalam hubungan antara parti dan mengelak dari membuat komen bagi pihak Umno,” katanya.

Hadi terdahulu dipetik memberikan “nasihat” agar ahli Umno mengikut keputusan dibuat MKT dan bukannya pandangan pemimpin di peringkat bahagian.

Bagaimanapun, Shahril berkata sama ada majoriti MKT menyokong sesuatu adalah rahsia dalaman mesyuarat yang tidak wajar diiklankan atau disahkan di luar.

“Yang penting ialah pendirian dan keputusan parti kelak,” katanya.

Tambahnya, Umno tidak sesekali menolak MN, malah pendirian rasmi Perhimpunan Agung 2020 juga menyebut keinginan memperkasa hubungan itu.

“Cuma ia perlu diselaraskan dengan satu lagi pendirian rasmi bahawa parti menolak kerjasama dengan Bersatu semasa PRU15 (pilihan raya umum ke-15).

“Maka, apabila PAS bertegas mahu meneruskan jalinan kerjasama pilihan raya bersama Perikatan Nasional (PN), ia meletakkan Umno dalam keadaan sukar untuk merancakkan MN sepertimana dahulu – sehingga terpaksa ada pertembungan,” katanya merujuk pilihan raya negeri Melaka apabila berlaku pertembungan susulan PAS bertanding atas lambang PN.

Shahril berkata, Umno menghormati pendirian PAS dan tidak akan memaksanya melakukan apa yang tidak dimahukan parti Islam itu.

“Jadi, sebagai tanda keikhlasan persahabatan, harapnya PAS juga menghormati pendirian Umno dan tidak memaksa kami atau menghebahkan spekulasi, dengan harapan kami melakukan sesuatu yang sememangnya sukar – khususnya berkenaan hubungan bersama pihak ketiga.”

BACA juga:

UTAMAPOLITIK‘Kurang wajar’ Hadi komen bagi pihak Umno, kata Shahril

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium