Kutipan GST tidak dirompak- PAC [Video] - pakdin.my

Tiada kehilangan wang dalam kutipan hasil Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) seperti yang dicanangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum ini.

Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Berhubung Tunggakan Bayaran Balik GST Berjumlah RM19.4 bilion oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Bawah Kementerian Kewangan membuat rumusan tersebut berdasarkan keterangan 10 saksi serta hasil taklimat Ketua Audit Negara dan pandangan Peguam Negara.

Menurut Pengerusi PAC, Datuk Noraini Ahmad, kerajaan sebelum ini telah terlebih anggar hasil GST bersih yang dikutip pada kadar 65 peratus daripada jumlah kutipan hasil GST.

Jelasnya, penangguhan pemindahan dana dari Akaun Hasil Disatukan ke Kumpulan Wang Bagi Pembayaran Balik GST dibuat untuk menjaga kedudukan aliran wang tunai negara supaya tidak berada dalam keadaan defisit pengurusan di mana perbelanjaan mengurus tidak boleh melebihi hasil.

Dengan itu, PAC katanya mengesyorkan kerajaan supaya pentadbiran kerajaan perlu memastikan pematuhan penuh undang-undang negara khasnya dalam pelaksanaan tatacara kewangan supaya sistem pentadbiran kewangan lebih teratur dan berakauntabiliti.

“Pegawai-pegawai kerajaan yang telah diamanahkan perlu sentiasa menasihati pentadbiran kerajaan tentang undang-undang, prosedur dan maklumat perangkaan tanpa perlu ada rasa gentar atau pilih kasih terutamanya dalam mengamalkan perancangan aliran tunai dan displin fiskal yang lebih berakauntibiliti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Noraini, penghasilan laporan berkenaan adalah lanjutan daripada kenyataan Guan Eng di dalam Dewan Rakyat pada Ogos 2018 yang menyatakan bahawa tuntutan bayaran balik GST berjumlah RM19.4 bilion ‘dirompak’ Kerajaan terdahulu.

PAC kemudiannya memulakan prosiding pada 12 September 2018 dengan memanggil semua pihak berkepentingan dalam isu ini termasuk Menteri Kewangan, Mantan Menteri Kewangan, Mantan Menteri Kewangan II, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Pengarah JKDM dan Akauntan Negara.

PAC juga telah mendapat taklimat daripada Ketua Audit Negara berhubung kesahihan tuntutan tunggakan bayaran balik GST berjumlah RM19.4 bilion selain mendapat pandangan Peguam Negara mengenai prosedur bayaran balik GST.

Katanya, dalam mesyuarat prosiding berkenaan, Ahli-Ahli PAC Parlimen membangkitkan isu antaranya:-

1. Kegagalan memasukkan kutipan GST ke dalam Kumpulan Wang Bagi Pembayaran Balik GST;
2. Penggunaan kuasa Menteri Kewangan di bawah Seksyen 54(5) Akta GST 2014.
3. Penetapan pindahan kadar 35 peratus daripada kutipan hasil GST ke dalam Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST;
4. Tempoh masa memproses pembayaran balik GST;
5. Kemampuan kerajaan untuk membayar tuntutan empat bilion kepada pembayar cukai;
6. Pengurusan aliran tunai;
7. Permohonan bagi pembayaran tuntutan GST sejumlah 4 bilion dari akaun hasil disatukan untuk pindahan ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST; dan
8. Status tuntutan GST belum bayar.

PAC membentangkan Laporan PAC Parlimen Berhubung Tuntutan Tunggakan Bayaran Balik Cukai Barang Dan Perkhidmatan (GST) Berjumlah RM19.4 Bilion Oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia JKDM) Di Bawah Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat hari ini.

Orang ramai yang berminat untuk meneliti laporan tersebut boleh memuat turun laporan berkenaan di laman web PAC di alamat www.parlimen.gov.my/pac.

LIHAT VIDEO: https://youtu.be/o-O8zsoVfSc

UTAMABERITAKutipan GST tidak dirompak- PAC

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium