30.6 C
Kuala Lumpur
Friday, January 22, 2021

Laman Facebook Bukan Ukuran Keinginan Majoriti Rakyat

KUALA LUMPUR, 12 Sept  — Kemunculan banyak laman Facebook menuntut pelbagai tindakan ke atas sesuatu isu tidak boleh menjadi ukuran kehendak majoriti rakyat, namun ia tetap merupakan salah salah satu pilihan utama rakyat menyuarakan pendapat.

Menegaskan demikian, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Chamil Wariya berkata jumlah orang yang klik butang “Like” pada laman berkenaan tidak boleh dijadikan ukuran kerana berkemungkinan ia didatangi daripada orang yang sama atau kelompok yang sama.

“Bagaimanapun, pihak berkaitan perlu sentiasa mengambil tahu dan mengikuti hujah serta pendapat yang diberikan orang ramai dalam laman berkenaan kerana di situ biasanya dibolehkan untuk meninggalkan komen.

“Ini adalah satu perkembangan yang sihat kerana menyediakan tempat untuk orang ramai bersuara, bagaimanapun saya bimbang jika laman Facebook sebegini digunakan sesetengah pihak untuk memenuhi kepentingan peribadi mereka,” katanya kepada Bernama di sini Isnin.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Syed Ali Al-Habshee berkata pendirian orang ramai dalam Facebook boleh diragui kerana individu yang menghantar komen boleh menyamar sebagai individu lain.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan berkata jika ia melibatkan isu mengkritik kerajaan atau sebagainya ia dibimbangi akan digunakan untuk kepentingan politik.

“Facebook boleh dimanipulasi kerana individu yang menjadi pengikut boleh menyamar dengan menggunakan identiti yang lain dan memberikan ulasan serta hujah, tetapi pihak yang berkaitan dengan isu di dalam laman Facebook perlu memberi penerangan dengan hujah yang betul dan tepat,” katanya.

Seorang pengguna internet, Mohd Hafeez Mohd Hanafiah, 30, yang bertugas di agensi swasta berkata hanya ulasan dan komen yang dihantar dalam laman berkenaan perlu diambil tindakan susulan tetapi jumlah pengikut tidak menggambarkan hasrat sebenar.

Petugas awam Fairuz Omar, berkata Facebook memang satu cara untuk mendapatkan maklum balas.

“Sedangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri pun mendapatkan maklum balas mengenai dasar kerajaan dari dalam Facebook,” katanya.

Kini banyak pihak menggunakan Facebook untuk menuntut tindakan segera kerajaan terutamanya yang melibatkan kenaikan harga barang atau kepentingan lain rakyat.

Sebagai contoh, caj cukai perkhidmatan enam peratus yang bakal dikenakan syarikat telekomunikasi mendapat bantahan ramai hingga Najib meminta syarikat telekomunikasi mengkaji semula caj itu.

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.