Langgar Akta Perbankan, Rafizi Dihukum Penjara 30 Bulan - pakdin.my

Ahli Parlimen Pandan yang juga Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dijatuhi hukuman penjara 30 bulan kerana mendedahkan empat akaun bank berkaitan National Feedlot Corporation (NFC) dan pengerusinya Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.

Rafizi dan seorang lagi tertuduh, bekas kerani bank Johari Mohamad didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen, Shah Alam hari ini kerana melanggar Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (BAFIA).

Hakim Mahkamah Sesyen Zamri Bakar berkata pihak pendakwa telah membuktikan perkara itu melampaui keraguan munasabah.

Mereka dituduh mendedahkan dokumen penyata baki akaun  NFC National Meat & Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan akaun bank Mohamad Salleh.

Kedua-dua tertuduh didapati bersalah kerana melanggar Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (BAFIA).

Zamri memutuskan demikian dalam penghakimannya selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah ke atas kedua-dua tertuduh.

“Mahkamah meneliti keseluruhan kes dan membuat penelitian maksimum terhadap hujahan pendakwaan serta pembelaan itu.

“Kedua-dua tertuduh disabitkan atas kesalahan itu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau membenarkan penangguhan hukuman ke atas mereka hingga keputusan rayuan dengan mengekalkan kos ikat jamin RM15,000 seorang.

Mohd Rafizi sebelum ini mengaku tidak bersalah mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank itu kepada perunding media Yusof Abdul Alim dan pemberita The Star, Erle Martin Carvalho.

Rafizi didakwa melakukan perbuatan itu di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya pada 7 Mac 2012.

Mohd Rafizi didakwa mengikut Seksyen 97(1) BAFIA yang boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Johari mengaku tidak bersalah bersubahat dengan Mohd Rafizi pada tarikh dan alamat sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 112(1)(c) BAFIA dan boleh dihukum mengikut Seksyen 103 akta sama.

Rafizi diwakili peguam Ahmad Nizam Hamid dan Mohd Falihin Kamil Mohd Sazali manakala peguam Latheefa Koya yang mewakili Johari.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lailawati Ali dan Steve Chin.

Dengan hukuman terbaru ini, Rafizi telah hilang dua kali kelayakan tanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Sebelum ini pada November 2016 Rafizi dijatuhi hukuman penjara 18 bulan atas kes OSA.

UTAMABERITALanggar Akta Perbankan, Rafizi Dihukum Penjara 30 Bulan

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium