Langgar mati budak sekolah, pemandu van ditahan #pakdin.my

Seorang pelajar perempuan berusia tujuh tahun meninggal dunia selepas digilis sebuah van di Taman Dahlia, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.10 tengah hari selepas pemandu wanita berusia 31 tahun itu selesai menurunkan penumpang.

“Pemandu van berkenaan telah memandu ke hadapan tanpa menyedari telah melanggar salah seorang pelajar perempuan yang juga penumpang van tersebut ketika mangsa sedang melintas di hadapan van terbabit.

“Sebelum kejadian, mangsa telah diambil oleh pemandu van terbabit dari sebuah sekolah berhampiran dan di hantar ke pusat transit sebelum ke sekolah KAFA,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, ekoran kejadian, mangsa yang berusia tujuh tahun telah dikejarkan ke unit kecemasan Nilai Medical Centre akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

“Mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 2.30 petang tadi.

“Pemandu van terbabit telah ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.

Terdahulu, orang ramai dikejutkan dengan sebuah video tular berdurasi satu minit 26 saat di media sosial Facebook yang memaparkan kejadian membabitkan kanak-kanak perempuan tersebut.

Berkaitan