Lapan kampung di Baling dilanda banjir

Persiapan Aidilfitri lebih 2,000 penduduk di daerah ini terjejas teruk berikutan banjir yang melanda lebih 20 kampung di daerah ini malam ini. Hujan lebat lebih empat jam sejak tengah hari ini menyebabkan ribuan penduduk panik dengan sebahagian daripada mereka gagal menyelamatkan harta benda.

Kira-kira tujuh keluarga di Kampung Banggol Chicar Kupang terpaksa berbuka puasa dalam banjir pada paras 0.5 meter. Imam surau kampung berkenaan, Hashim Alias, 48, berkata, air mula naik kira-kira pukul 7.30 malam menyebabkan dia hanya sempat minum air sebelum berusaha menyelamatkan keluarga dan harta benda.

Dua anaknya, Nazirah 21, yang sarat mengandung dan Mashitah, 24, yang masih dalam pantang terpaksa meredah banjir untuk menyelamatkan diri. Pekan Kupang turut dinaiki air menyebabkan berpuluh peniaga terpaksa menyelamatkan barang perniagaan masing-masing.

Antara kampung yang turut terjejas teruk ialah Kampung Belakang Sekolah, Kampung Belakang Panggung, Kampung Raja, Kampung Tanah Periuk Pekan Khamis, Kampung Landak, Kampung Padang Cina dan Kuala Pegang, Kampung Sadik, Jerai, Bukit Terabak, Banggol Lahar dan Gua Reban dengan beratus buluh lemang untuk persiapan hari raya milik penduduk turut dihanyutkan air.

Comments (No)

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.