Laporan bedah siasat Nora Anne akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara

SEREMBAN – Laporan bedah siasat ke atas mayat remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Peguam mewakili keluarga Nora, Sankaran Nair berkata, Peguam Negara Tommy Thomas akan menentukan apa juga tindakan susulan selepas meneliti laporan bedah siasat yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Perubatan Forensik nanti.

“Mengikut prosedur, laporan itu akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara dan Peguam Negara (AG) akan menentukan tindakan selanjutnya.

“Kebiasaannya mati mengejut (SDR) sahaja memerlukan inkues.
“Saya akan meminta AG mempertimbangkannya jika inkues diperlukan dalam kes ini apabila segala bukti dan hasil siasatan lanjut polis dikemukakan kepada Tommy nanti,” katanya kepada pemberita di luar Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar di sini.

Tambah beliau, ibu bapa simati juga telah hadir pagi tadi dan meninggalkan hospital untuk kembali ke tempat penginapan mereka.

Ahli keluarga mangsa merakamkan setinggi tinggi penghargaan kepada semua polis dan pihak yang terlibat secara langsung dalam misi mencari Nora yang hilang sejak 4 Ogos lalu sebelum mayatnya ditemui semalam.

“Kami juga tidak pasti tempoh masa menyiapkan bedah siasat kerana ia bergantung kepada patalogi yang mahu menentukan punca kematian mangsa.

“Malah saya juga tidak tahu apa tindakan lanjut ahli keluarga kerana mereka belum memikirkan tindakan selepas ini tetapi akan memaklumkan sekiranya ada perkembangan terbaharu dalam bedah siasat,” katanya.

Ditanya tahap emosi ibu bapa mangsa, Sankaran berkata, kedua-dua ibu bapa mendiang Nora Anne berada dalam keadaan trauma yang tinggi akibat tragedi yang menimpa anak perempuan kesayangan mereka.

Oleh kerana ibu bapa Nora baru melalui detik-detik yang mendukacitakan, mereka belum bersedia untuk menjelaskan mengenai tindakan lanjut  apabila bedah siasat  ke atas mayat siap nanti.

Setakat ini, katanya, agak sukar untuk pihaknya mahupun polis menentukan sama ada wujud unsur jenayah dalam kematian Nora Anne kerana proses bedah siasat sedang dijalankan.

“Kita tunggu laporan bedah siasat selepas itu baru mereka boleh membuat kesimpulan sama ada terdapat sebarang elemen jenayah dalam kematian Nora,” tegasnya.