Layanan pilih kasih Kabinet antara tanglung dan Jawi

Prof. Datuk Dr. Ahmad Murad Merican | pakdin.my

Kerajaan dipersoal mengapa tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa tulisan Jawi dapat memupuk perpaduan dan mana-mana pihak yang menentangnya adalah pengkhianat.

Peliknya, menteri-menteri kabinet boleh menyatakan pemasangan tanglung bagi meraikan sambutan Tahun Baru Cina di SMK Pusat Bandar Puchong 1 adalah perpaduan.

Tidak cukup dengan itu mereka menyatakan mereka yang menentang tanglung adalah pengkhianat.

Profesor Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antabangsa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), Prof. Datuk Dr Ahmad Murad Merican menyifatkan layanan berbeza kerajaan berhubung dua isu itu adalah pilih kasih.

“Nampaknya kerajaan sendiri yang mengarusperdanakan budaya vernakular tetapi mengenepikan dan memperlekehkan budaya arus perdana,” katanya di sini.

Tambah beliau, logik menteri-menteri bukan Melayu dalam Kabinet adalah songsang termasuk juga logik menteri-menteri Melayu dalam hal ini.

Ahmad Murad berkata, sadisnya media Melayu juga tidak memberi hujah sebegini dalam editorial mereka.

“Apakah ini pun media Melayu tidak boleh suarakan? Di manakah kuasa editorial dan hujah? Apakah ini pun media Melayu tidak boleh tegur kerajaan?

“Jika media Melayu menyepi dalam hal ini, janganlah salahkan orang lain Jika nilai songsang seperti ini di arus perdanakan.

“Jangan hanya menggarap reaksi dari media sosial atau makalah dari pembaca. Media Melayu yang tak seberapa kerat jumlahnya kini) mesti tegas dan berpendirian sepatutnya dan berhujah berterusan. Tak perlu tunggu suara kabinet yang nampaknya songsang mengenai memajukan budaya kebangsaan,” tegasnya.

Ujar beliau lagi, tidak kelihatan editorial bebas dari media Melayu dan ‘berbahasa Melayu’ menangkis pendirian surat khabar The Sun atau The Star mengenai isu tanglung.

“Akhbar-akhbar ini memaparkan pendirian Kabinet Kerajaan Malaysia sebagai berkata, sesiapa yang menolak/mengkritik/ tanglung Cina sebagai pengkhianat/ekstremis “sebab tanglung paparkan perpaduan.”

“Sedangkan, kabinet kerajaan Malaysia tidak pernah menyebut dan bersuara mereka yang menolak Jawi sebagai ekstremis. Kabinet Kerajaan Malaysia tidak pernah bersuara meletakan tulisan Jawi sebagai alat/simbol perpaduan negara.

“Adakah kabinet anti-nasional?,” soal beliau sambil berharap media Melayu -radio/televisyen dan suratkhabar yang jumlahnya kini tidak sebanyak dulu menggunakan apa-apa kebebasan editorial/iklim kebebasan media seperti yang diumumkan beberapa kali oleh kabinet dan Perdana Menteri untuk menegur suasana ini,” tambahnya.

Katanya, media Melayu tidak harus membiarkan isu tanglung Cina diarusperdanakan lalu menafikan dan meminggirkan Jawi.

Tegas beliau, ini bukan menolak paparan budaya lain dalam landskap nasional.

“Tetapi teguran saya kerana kesepian editorial media Melayu dalam berhujah – menangkis pendirian kabinet mengenai tanglung.

“Jika pendirian itu tidak dihujah dan ditangkis, media Melayu akan dipersalahkan kerana gagal mempertahankan nilai atau simbol nasional dan perpaduan.

“Apakah editor dan media Melayu masih lagi tidur?,” katanya. – MalaysiaGazette

Comments

comments