Lebih 1,800 Cawangan Umno Selangor Selesai Mesyuarat Agung - pakdin.my

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Selangor - Tan Sri Abu Hassan Omar.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Selangor – Tan Sri Abu Hassan Omar.

Lebih 1,800 daripada 2,297 cawangan Umno di Selangor yang layak mengadakan mesyuarat telah berbuat demikian setakat hari ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Selangor Tan Sri Abu Hassan Omar.

Tinggal kira-kira 400 cawangan akan bermesyuarat sehingga tamat tempoh mengadakan mesyuarat agung tahunan yang ditetapkan pada 15 Sept ini, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Umno Selangor di sini, Khamis.

Setakat ini pihaknya menerima 18 aduan daripada anggota Umno, antaranya dakwaan mesyuarat dijalankan tanpa cukup korum dan tidak mengikut jadual yang ditetapkan malah ada yang mendakwa tiada mesyuarat yang berlangsung cuma jamuan Hari Raya Aidilfitri.

Beliau berkata jawatankuasa pemilihan yang menerima aduan menyiasat dakwaan yang dibuat dan ada cawangan yang perlu bermesyuarat semula kerana tidak memenuhi syarat serta perlembagaan parti.

Bagaimanapun, jika siasatan mendapati dakwaan yang dibuat tidak berasas, wakil cawangan akan dibenarkan hadir pada pemilihan sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri pada 12 Okt ini dan pemilihan anggota jawatankuasa bahagian pada 19 Okt ini.

Abu Hassan berkata pihaknya sedang melakukan persediaan untuk proses pendaftaran calon bagi pemilihan peringkat jawatankuasa Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri peringkat bahagian yang akan berlangsung pada 21 Sept ini di Ibu Pejabat Umno Selangor dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.

Beliau berkata pihaknya mendapatkan bantuan lebih 100 pelajar Kolej Komuniti di negeri ini dan wakil jawatankuasa pemilihan bahagian bagi melaksanakan proses pendaftaran calon bagi pemilihan kali ini.

Dijangka sejumlah 3,000 calon dari seluruh 22 bahagian Umno akan mendaftar pada hari itu dan pihaknya menetapkan pendaftaran calon dari 11 bahagian di Tingkat 3 dan 11 bahagian lagi di Tingkat 5 Bangunan Umno Selangor, di sini.

Borang pencalonan akan mula diedarkan kepada seluruh bahagian Umno negeri pada 14 Sept ini.

UTAMAPOLITIKLebih 1,800 Cawangan Umno Selangor Selesai Mesyuarat Agung

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium