25.8 C
Kuala Lumpur
Sunday, January 24, 2021

Lebih RM100 bilion diperuntukkan untuk jalur lebar sejak 1990

hsbb-skmm

Sudah lebih RM100 bilion ringgit dibelanjakan kerajaan untuk menambah baik infrastruktur jalur lebar negara sejak 1990 sehingga sekarang, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata untuk menaik taraf 2G kepada 3G, ia memerlukan pelaburan sehingga RM40 bilion dan kos yang tinggi menyebabkan usaha meningkatkan kelajuan atau liputan menyeluruh memerlukan masa lama sebelum dapat dilaksanakan.

“Misalnya 2G perbelanjaannya antara RM40 hingga RM50 bilion, untuk 3G pun sama, ini tidak termasuk dalam menyediakan laluan fiber optik.

“Program Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi Fasa 1 (HSBB1) pula menelan belanja RM11.3 bilion tidak termasuk HSBB2 dan menyediakan menara telekomunikasi,” katanya menambah bahawa pelaksanaan infrastrukturnya juga memerlukan gandingan usaha antara kerajaan pusat, negeri serta pihak swasta.

Usaha penambahbaikan katanya, akan terhalang jika kerajaan negeri tidak mewajibkan semua kawasan perumahan baharu disediakan kemudahan laluan fiber optik itu.

Langkah itu tegasnya cukup penting dalam memastikan negara mencapai taraf negara maju menjelang 2020 selaras Ranccangan Malaysia Ke 11 lantaran setiap urusan dalam aspek digital ekonomi memerlukan akses jalur lebar.

“Kegagalan bukan lagi pilihan kerana untuk dipanggil negara maju maka akses jalur lebar asas penting untuk membolehkan pelbagai urusan seperti e-commerce, e-payment, e-kerajaan dan e-banking dilakukan.

“Kalau lambat, seolah-olah kita menafikan hak rakyat untuk mendapat perkhidmatan jalur lebar seperti mana kemudahan utiliti yang lain,” katanya.

Bagi tujuan itu, beliau berkata kementeriannya turut memperkenalkan program “Connecting the Unconnected” secara bersepadu yang membabitkan pelbagai agensi di bawah kementerian berkenaan.

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.