Lelaki lempar bom ikan ke bot polis, maut ditembak

bom-ikan-polis-bum-bum

SEMPORNA: Seorang lelaki mati ditembak selepas menyerang bot ronda pasukan keselamatan dengan melempar bom ikan di perairan Nusa Kuya dekat Pulau Bum-Bum dekat sini, semalam.

Dalam kejadian itu kira-kira jam 12.05 tengah hari, sepasukan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) yang menaiki sebuah bot ronda terserempak dengan bot pam dinaiki tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Sebaik dihampiri, seorang lelaki dilihat membakar sesuatu lalu membaling botol disyaki bom ikan ke arah bot pasukan keselamatan namun tersasar dan meletup dalam laut berhampiran aset PPM terbabit.

Lelaki itu sekali lagi mengulangi tindakannya melempar bom ikan ke arah bot PPM

menyebabkan seorang anggota terpaksa melepaskan tembakan ke arah lelaki berkenaan bagi mempertahankan diri.

Sejurus kemudian bot ronda terbabit merapat pada bot pam berkenaan sebelum menemui suspek terbaring dalam keadaan berlumuran darah, manakala dua lagi individu dalam bot berkenaan tidak cedera.

Siasatan mendapati suspek yang ditembak mati ialah lelaki berusia 25 tahun dari Kampung Halo, Bangau-Bangau dekat sini, manakala dua lagi yang ditahan dalam bot berkenaan ialah adiknya, masing-masing berusia 10 dan 13 tahun.

Pasukan keselamatan turut merampas empat botol kaca berisi baja ammonia serta satu unit bahan peledak disyaki untuk membuat bom ikan, selain menemui 10 kilogram ikan pelbagai jenis dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Peter Umbuas, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Suspek dihantar ke Hospital Semporna sebelum dibawa ke Hospital Tawau untuk bedah siasat.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini