Lelaki warga asing ditahan, tunjuk alat sulit dalam LRT

Seorang wanita membuat laporan polis selepas menjadi mangsa gangguan seks dalam Transit Aliran Ringan (LRT) menuju Glenmarie, awal September lalu.

Membuat aduan di balai polis Seksyen 9, dekat sini, Nur Afiqah Sofian, 25, berkata lelaki berkenaan, dipercayai warga asing menunjukkan kemaluannya.

“Semasa saya duduk dalam tren tersebut, terdapat lelaki disyaki warga asing berdiri terlalu rapat di hadapan saya dan beberapa kali menolak kaki saya menggunakan lututnya supaya saya memberi perhatian tetapi saya tidak melayan,” kata barista sambilan dalam laporan polis pada 4 September.

“Semasa tren menghampiri Stesen Lembah Subang lelaki tersebut bertindak menunjukkan kemaluannya kepada saya menyebabkan saya terkejut dan tidak dapat berbuat apa-apa.”

Suspek kemudian melarikan diri sebaik tiba Lembah Subang. Berikutan kejadian itu, teman lelaki Afiqah iaitu Akif Zain memuat naik aduan polis tersebut di Twitter keesokkannya.

“Kepada semua terutama wanita kalau naik perkhidmatan awam tolonglah hati-hati dengan ‘flasher’ (individu yang menunjukkan kemaluan di tempat awam),” tulis Akif.

“Semalam kekasih aku kena dekat dalam LRT dari KLCC ke Glenmarie.”

Hantaran itu mendapat perhatian warga maya, sehingga dikongsi lebih 11,000 pengguna, termasuk mendapat 5,100 tanda ‘suka’.

Beliau kemudian pada 10 September memaklumkan, suspek sudah ditangkap pihak berwajib.