Limpahan air akibat aktiviti pertanian tanpa kebenaran

HULU SELANGOR: Sebuah syarikat yang memiliki lot tanah di Jalan Sungai Buaya, di sini, dikompaun, hari ini, selepas didapati menjalankan aktiviti pertanian tanpa kebenaran Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

Difahamkan, aktiviti pertanian itu mengakibatkan limpahan air menyebabkan laluan jalan besar Bandar Sungai Buaya dinaiki air hampir sepanjang 500 meter berikutan hujan lebat, pagi hari ini.

Yang Dipertua MDHS Tuan Dr Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, hasil aduan daripada orang awam mendapati, syarikat terbabit melakukan kerja tanah bagi tujuan pertanian.

Katanya, hasil tinjauan juga mendapati, aktiviti pertanian itu menyebabkan keadaan jalan di lokasi berhampiran rosak dan berlumpur, serta merosakkan sistem perparitan di kawasan berkenaan.

“Pemilik tanah berkenaan dikenakan tindakan kompaun mengikut Seksyen 70A (1), Akta Jalan, Parit dan Pembangunan,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Limpahan air tanah daripada bukit berhampiran menyebabkan laluan jalan besar di situ dinaiki air berikutan hujan lebat pada pagi hari ini, menyebabkan laluan sesak.

Susulan kejadian itu, MDHS mengarahkan pemilik tanah untuk menghentikan aktiviti pertanian serta-merta dan melakukan kerja baik pulih di kawasan terbabit membabitkan jalan serta longkang.

MDHS sebelum ini telah menerima laporan daripada Gabungan NGO Bandar Sungai Buaya (GNBSB) berikutan kejadian terbabit dan mengambil tindakan tegas bagi memastikan sebarang kejadian seperti ini tidak berlaku.

 

Leave a Reply