29.7 C
Kuala Lumpur
Tuesday, October 27, 2020

“Little England” – Bukit Fraser Destinasi Untuk Ketenangan

frasers-hill-townBukit Fraser tercatat sebagai antara pusat peranginan tanah tinggi yang paling popular di Semenanjung Malaysia, manakala dua lagi ialah Cameron Highlands dan Genting Highlands.

Ia adalah tempat untuk pelancong dan mereka yang mendambakan ketenangan tetapi pada masa sama tidak mahu berada dalam keadaan yang terlalu sesak. Bukit Fraser di banjaran Titiwangsa, Pahang ini juga menjadi destinasi kepada pasangan yang baru berkahwin untuk berbulan madu.

Kawasan bersuhu sekitar 17 hingga 24 darjah celcius dan dipenuhi taman-taman bunga dan pemandangan yang cantik menjadikan ia seperti berada di negara Eropah.

Bukit Fraser pada asalnya adalah lombong bijih dan emas, dan mendapat namanya daripada warga Scotland bernama Louise James Fraser, yang menemui tempat ini pada 1890.

Untuk sampai ke Bukit Fraser boleh melalui dua jalan darat iaitu dari Kuala Kubu Baru, Selangor atau Raub, Pahang dan perjalanan sejauh 140 kilometer dari ibu negara hanya mengambil masa selama satu jam setengah.

‘LITTLE ENGLAND’

frasers-hill-wayKeletihan menempuh perjalanan yang berliku-liku bagaikan hilang begitu sahaja apabila melihat kelibat menara jam lama yang menjadi mercu tanda Bukit Fraser.


Walaupun jam menunjukkan pukul 1.00 petang, suasana masih sejuk menyebabkan penulis dan rakan-rakan media yang mengikuti program Cuti-Cuti 1Malaysia anjuran Tourism Malaysia tidak menunggu lama untuk menyarung baju sejuk.

Tidak hairan mengapa Bukit Fraser mendapat jolokan ‘Little England’ kerana semua bangunan termasuk pejabat pos, balai polis dan hotel dibina mengikut cita rasa kolonial British.

Warna putih boleh dikatakan menjadi warna tema bagi semua bangunan di sini. Manakala tiada penggunaan pagar besi, sebaliknya digantikan dengan tumbuhan renek sebagai penanda sempadan antara bangunan.

Mendapat jolokan sebagai bandar tinggalan British namun ada juga yang menyatakan bahawa reka bentuk bangunan di pekan Bukit Fraser lebih ke arah gaya tudor di kawasan pedalaman Scotland.

Untuk menikmati pemandangan sekitar Bukit Fraser, pengunjung boleh memilih sama ada mahu berjalan kaki atau menyewa basikal yang disediakan oleh pengusaha hotel dengan harga RM10 sejam.

AKTIVITI MALAM

frases-hill-titiwangsaTidak dinafikan suasana malam di Bukit Fraser amat berbeza daripada pusat peranginan lain kerana tidak banyak aktiviti yang boleh dilakukan selain berehat.

Bagaimanapun, untuk mereka yang aktif, Bukit Fraser menjanjikan sesuatu yang menarik untuk diterokai dan penulis tidak melepaskan peluang untuk turut sama menguji kemampuan merentasi denai di sekitar Bukit Fraser selepas matahari terbenam.

Program ini di bawah seliaan Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser (PKBF) dan menurut pemandu perjalanan kami, Abdul Zairi Abdullah, pengunjung yang berhasrat melakukan aktiviti itu perlu ke kaunter maklumat untuk mendapatkan khidmat pemandu arah.


Abdul Zairi berkata, terdapat lapan laluan yang berbeza tahap kesukarannya iaitu laluan paling sukar Pine Tree Trails (5,000 meter), Hemmant Trail (1,000 meter), Bishop’s Trail (1,500 meter), Mager Trail (1,000 meter), Maxwell Trail (1,800 meter), Rompin Trail (500 meter), Kindersley Trail (750 meter) dan Abu Suradi Trails (500 meter).

Jika diperhatikan hanya satu laluan sahaja yang diberi ‘nama Melayu’ dan menurut Abdul Zairi, nama Abu Suradi adalah sempena nama pengusaha bijih timah Melayu pertama di Bukit Fraser dan mengikut cerita, kawasan yang diusahakannya kini menjadi satu-satunya padang golf di sini.

Sepanjang perjalanan, penulis berpeluang melihat tumbuhan liar seperti pisang karok, halia hutan, paku pakis liar dan serangga yang hanya keluar pada waktu malam seperti labah-labah tarantula dan cengkerik.

MELIHAT BURUNG

frasers-hill-bird-watchingBukit Fraser juga terkenal dengan aktiviti memerhati burung kerana terdapat lebih 260 spesies burung yang membolehkan pertandingan memerhati burung antarabangsa diadakan setiap tahun di pusat peranginan ini.

Pada pertandingan itu, peserta akan berjalan merentasi denai di Bukit Fraser sambil merekodkan jumlah dan spesies burung yang dilihat sepanjang perjalanan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Pengurus Besar PKBF Datuk Md Hanafiah Abd Talib berkata, aktiviti memerhati burung adalah produk pelancongan Bukit Fraser dan menjadi sebab kedatangan 10 peratus pelancong luar ke sini.

“Pada pertandingan itu, peminat-peminat burung akan merekodkan jumlah burung yang dijumpai sebelum bertukar-tukar pandangan mengenai spesies burung.


“Mereka yang bertuah juga dapat melihat spesies burung dari Jepun yang akan singgah di Bukit Fraser sebelum meneruskan perjalanan ke New Zealand pada bulan Jun,” katanya.

Antara spesies burung yang mudah didapati di Bukit Fraser ialah ‘Rhinoceros hornbill’, ‘mountain tailorbird’, ‘silver eared mesia’, ‘chestnut capped thrush’, ‘mountain imperial pigeon’ dan ‘long tailed sibia’.

BAKAL JADI PEKAN BUNGA

frasers-hill-bunglowMd Hanafiah seterusnya berkata, PKBF kini sedang giat menggalakkan kira-kira 1,000 penduduk tempatan Bukit Fraser untuk menanam bunga di setiap penjuru kediaman mereka bagi membolehkan pelancong berasa seperti berada di luar negara.

“Persekitaran sejuk amat sesuai untuk menanam bunga dan sepatutnya cuaca itu dimanfaatkan sebaiknya seperti yang dilakukan di Cameron Highlands yang popular dengan keindahan bunga mawar,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa Bukit Fraser tidak akan menjadi seperti Cameron Highlands kerana prinsip utama PKBF ialah mengekalkan alam semula jadi dan keaslian pekan di sini.

Berita Berkaitan

Tak perlu isytihar darurat, kata Agong

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, tiada keperluan mengisytiharkan darurat di...

Siapa penumpang helikopter?

Kehadiran sebuah helikopter yang mendarat di pekarangan Istana Negara, di sini, menimbulkan tanda tanya...

Darurat: Raja-Raja Melayu bermesyuarat esok

Sembilan Raja-Raja Melayu dan empat Yang di-Pertua Negeri di Malaysia dijadualkan mengadakan pertemuan khas...

Jumpa mayat reput di belakang kuil

Taiping: Mayat reput ditemui penduduk di kawasan semak belakang kuil di Taman Zenith, di...

Komen

..

Keputusan MKT UMNO semalam termasuk juga salah satu cadangan saya – Najib

Sebagai salah seorang Ahli Parlimen UMNO, saya bawa tiga cadangan dalam meeting semalam kerana itulah tujuan kami bertemu. Ia adalah untuk berbincang dan menentukan hala...
993PeminatSuka
4,664PengikutMengikut
3,359PengikutMengikut
13,700PelangganLanggan