Sunday - July 25, 2021 @ 23:08
BERITANASIONALLiwat II: Rujuk Jabatan Peguam Negara bukan KDN Untuk Hadir Sidang Parlimen

Liwat II: Rujuk Jabatan Peguam Negara bukan KDN Untuk Hadir Sidang Parlimen

anwar-rayuan-kes-liwt-hari-3

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menjelaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mengemukakan permohonan kepada Jabatan Peguam Negara bagi membolehkannya hadir ke sidang Dewan Rakyat akan datang.

Kenyataan menteri dalam negeri itu bertentangan dengan kenyataan dibuat timbalannya Datuk Ser Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar semalam yang mengatakan Anwar perlu membuat permohonan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Itu biarkan peguam negara buat tafsiran. Saya berbeza pendapat dengan kenyataan timbalan menteri saya yang membuat kenyataan sebegitu.

“Saya fikir kenyataan itu patut dirujuk kepada peguam negara. Tidak perlu ada pendapat individu, sama ada di kalangan menteri atau ahli politik.

“Kita perlu meletakkan kebertanggungjawaban itu kepada pengamal undang-undang, terutamanya peguam negara, membuat tafsiran berdasarkan Perkara 49 dalam perlembagaan, dan klausa lain yang terdapat dalam undang-undang yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media selepas perjumpaan dengan ahli Lembaga Pengawalan Dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran dan Lajnah Tahseh Al-Quran di Marina Putrajaya.

Semalam, Wan Junaidi memberitahu, ketua pembangkang yang sedang menjalani hukuman penjara itu perlu membuat permohonan kepada Jabatan Penjara dan Parlimen sebelum KDN boleh membuat keputusan menimbangkan sama ada beliau boleh hadir ke Dewan Rakyat atau sebaliknya.

Menurutnya, ahli Parlimen Permatang Pauh itu masih belum hilang kelayakan sebagai wakil rakyat selepas keluarganya memohon pengampunan Diraja pada Selasa.

Wan Junaidi menjelaskan, kes membabitkan Anwar ialah suatu yang berbeza kerana ia kali pertama situasi tersebut berlaku dalam negara dan penelitian dari sudut perundangan serta peraturan penjara perlu dilihat terlebih dahulu.

Anwar dijatuhkan hukuman penjara lima tahun pada 10 Februari selepas panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria mendapati beliau bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Hukuman tersebut menyaksikan beliau secara automatiknya hilang kelayakan sebagai wakil rakyat, bagaimanapun Dewan Rakyat dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mengumumkan kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh kerana menunggu proses semakan kehakiman atau permohonan pengampunan yang mungkin dibuat Anwar.

Pada Selasa, keluarga Anwar mengemukakan permohonan pengampunan kepada Istana Negara pada saat akhir.

Berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here