Mahathir: Ekstremis halang Cina sokong BN - pakdin.my

Tun Dr Mahathir Mohamad.

KUANTAN – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata puak ekstremis Cina dilihat memainkan peranan bagi menghalang sokongan kaum itu terhadap Barisan Nasional (BN).

Dr Mahathir berkata, sekalipun sokongan rakyat kini semakin berpihak kepada BN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13, sokongan kaum Cina masih dilihat sebagai penentu kepada kejayaan BN.

“Undi kaum Melayu berpecah tiga (Umno, PAS dan PKR), undi (kaum) Cina jadi undi penentu, (berdasarkan fakta itu) puak ekstremis ini mahu kaum Cina memainkan peranan lebih besar (dalam menentukan hala tuju politik negara),” katanya di sini, hari ini.

Beliau ditemui pemberita selepas menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan Automotif Univerisiti Malaysia Pahang, di sini.

Majlis penganugerahan itu disempurnakan Canselor UMP, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada Majlis Konvokesyen Khas UMP.

Dr Mahathir berkata, majoriti kaum Cina di negara ini adalah dalam kalangan mereka yang berfahaman sederhana dan bukanlah ekstremis.

Namun, beliau berkata, puak ekstremis inilah yang memainkan pelbagai isu termasuk isu sensitif yang dilihat boleh menggugat perpaduan dan kesejahteraan yang dikecapi rakyat pelbagai kaum di negara ini.

“Apabila puak ekstremis ini kata (sesuatu), dia (golongan sederhana) tak berani nak lawan,” katanya.

Dr Mahathir bagaimanapun yakin, pilihan raya umum ke-13 nanti akan lebih baik buat BN, berbanding pilihan raya umum pada 2008.

Mengulas laporan akhbar berhubung bekas Naib Pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang didakwa cuba dirasuah sebanyak RM50,000 supaya menutup mulut dalam isu peletakan jawatannya, Dr Mahathir berkata Tunku Abdul Aziz adalah seorang yang cukup berintegriti.

Dr Mahathir berkata, pada peringkat awal lagi beliau agak terkejut apabila Tunku Abdul Aziz menyertai DAP.

“Saya tak fikir saya ini rasis sangat. DAP kata ia bukan parti racial, tapi sebenarnya ia adalah parti kecinaan, lebih utamakan kecinaan,” katanya.

“Dia (Tunku Abdul Aziz) berpegang kepada prinsip yang tinggi, saya terkejut dia masuk DAP, tak nampak signifikan bila masuk DAP, bila masuk dia dapat gambaran sebenarnya,” katanya.

UTAMABERITAMahathir: Ekstremis halang Cina sokong BN

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium