Mahkamah Perjelas Sebab Muhammad Shafee Dibenar Ketuai Pendakwaan - pakdin.my

ds-shafee-anwar

Mahkamah Rayuan memperjelas mengapa peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah boleh mengetuai pendakwaan dalam rayuan berhubung pembebasan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada pertuduhan liwat.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Rohana Yusuf, dalam penghakiman 19 muka surat yang dikeluarkan Jumaat lepas, berkata doktrin desuetude atau peruntukan lapuk tidak terpakai kepada Seksyen 379 Kanun Tatacara Jenayah dan undang-undang di Malaysia.

“Undang-Undang Malaysia adalah kekal dalam jangka hayat. Ia terus berkuat kuasa sehingga ia sama ada dimansuh atau tamat tempoh. Bagi menghentikan pemakaian sesuatu undang-undang, ia perlu dimansuh secara spesifik oleh Parliamen. Ia tidak boleh dianggap mansuh hanya kerana aliran masa atau tidak lagi digunakan secara aktif,” katanya.

Peguam utama Anwar, Karpal Singh berhujah bahawa pelantikan Muhammad Shafee terbatal kerana Seksyen 379 iaitu satu daripada peruntukan undang-undang yang diguna pakai untuk melantik beliau tidak lagi terpakai kerana sudah lama tidak digunakan, justeru, ia perlu diisytihar sebagai lapuk di bawah doktrin desuetude.

Rohana berkata tidak ada pengiktirafan terhadap prinsip di masa satu statut mungkin kehilangan kuasanya semata-mata menerusi keingkaran dan ketiadaan penguatkuasaan dalam tempoh masa yang lama tanpa dimansuhkan atau luput secara nyata atau tersirat.

Beliau juga berkata mahkamah tidak bersetuju dengan pendekatan Karpal Singh yang berhujah bahawa seseorang peguam bela tidak lagi boleh tampil bagi pihak pendakwa raya dalam kes rayuan jenayah berikutan pindaan terhadap Seksyen 378 Kanun Tatacara Jenayah.

Pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas serta membebaskan Anwar, 64, daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di sebuah unit Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Mahkamah Rayuan menetapkan 11 dan 12 Dis untuk mendengar rayuan itu.

Rohana, dalam penghakimannya berkata Muhammad Shafee juga bukanlah seorang saksi penting bagi pendakwaan dan pembelaan dalam perbicaraan kes liwat kedua Anwar.

Beliau berkata hakikat bahawa perbicaraan kes itu sudah tamat dan pembelaan serta pendakwaan tidak memanggil Muhammad Shafee sebagai saksi, akan melupuskan anggapan bahawa peguam itu adalah seorang saksi penting.

“Dalam hujah lisan beliau, peguam Karpal Singh mencadangkan bahawa keterangan Muhammad Shafee adalah relevan kepada pembelaan konspirasi yang dikemukakan Anwar.

“Jika beliau (Muhammad Shafee) adalah saksi penting kepada pembelaan, adalah ganjil perbicaran kes itu berlangsung tanpa keterangannya,” katanya.

Pada 17 Sept lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Ramly Ali yang bersidang bersama-sama Rohana dan seorang lagi Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Zawawi Salleh, sebulat suara menolak permohonan Anwar untuk melucutkan kelayakan Muhammad Shafee daripada tampil sebagai pendakwa raya dalam rayuan kes itu.

Muhammad Shafee dilantik oleh Peguam Negara secara “fiat” untuk mengetuai pendakwaan mengikut Seksyen 376(3) dan Seksyen 379 Kanun Tatacara Jenayah serta Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

“Kami tidak nampak bagaimana beliau (Muhammad Shafee) relevan dalam kes liwat Anwar,” katanya.

Beliau berkata hakikat bahawa pendakwaan menawarkan Muhammad Shafee sebagai saksi kepada pembelaan kerana kenyataan peguam itu diambil mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah namun perkara itu tidak menjadikan beliau sebagai saksi penting.

Rohana juga berkata peranan Muhammad Shafee sebagai pendakwa dalam rayuan ini tidak berbeza dengan peranan Karpal Singh yang bertindak sebagai peguam Anwar pada perbicaraan kes liwat pertama pada 2001, yang mana Karpal Singh telahpun mendedahkan di Parlimen bahawa pada 22 Okt 1997, pengadu dan seorang saksi telah bertemu beliau berhubung Anwar dalam kes berkenaan.

“Pada pandangan kami, peranan Karpal Singh tidaklah terlalu berbeza dengan fakta yang dirujuk berhubung isu ini. Kami mengatakan perkara ini kerana meskipun beliau berpotensi sebagai saksi, Karpal Singh menjadi peguam Anwar pada perbicaraan kes itu,” katanya.

Anwar kemudian mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan hari ini.

UTAMABERITAMahkamah Perjelas Sebab Muhammad Shafee Dibenar Ketuai Pendakwaan

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium