25.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, January 28, 2021

Mahkamah Tinggi Tolak Injunksi Halang KPF Lupus Ekuiti FHB (kemaskini)

KUANTAN  — Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini menolak injunksi yang dipohon oleh lapan peneroka Felda di Pahang bagi menghalang Koperasi Permodalan Felda (KPF) daripada melupuskan ekuitinya dalam Felda Holdings Berhad (FHB) kepada Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH).

Hakim Datuk Mariana Yahya membuat keputusan berkenaan di kamarnya setelah meneliti penghujahan lisan daripada peguam peneroka terbabit dan peguam KPF.

KPF diwakili peguam J.Doshi sementara Mohd Harris Abdullah mewakili peneroka terbabit.

Pada 17 Feb lepas, lapan anggota KPF itu memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini bagi mendapatkan perintah injunksi bagi menghalang koperasi itu daripada membuat sebarang keputusan pada mesyuarat agung luar biasanya (EGM) yang dijadual pada 22 Feb tetapi ditangguhkan.

Permohonan injunksi itu adalah bagi menghalang KPF daripada melupuskan sama ada kesemua atau sebahagian daripada ekuiti KPF dalam Felda Holdings Berhad (FHB) kepada Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH).

Antara alasan diberi semasa membuat permohonan bahawa cadangan KPF untuk melupuskan ekuiti miliknya dalam FHB dan anak-anak syarikat yang lain bernilai RM3.13 bilion kepada FGVH, tidak menguntungkan mereka dan pemegang saham KPF.

Mohd Harris memberitahu pemberita kemudian bahawa Mariana, semasa membuat keputusannya itu, berkata injunksi itu suatu yang pramatang bagi menghalang pelupusan ekuiti kerana perwakilan KPF hanya merancang membincangkan perkara tersebut dan belum pun ada keputusan yang dibuat mengenainya.

Peguam itu berkata hakim mendapati dakwaan plaintif bahawa KPF memiliki 51 peratus saham dalam FHB, yang dikatakan bernilai RM3.13 bilion, tidak diasaskan kepada bukti kukuh cuma daripada khabar angin dan hanya anggaran semata-mata.

“Hakim itu berkata mahkamah bukanlah forum sebenarnya untuk perkara berkenaan kerana isu berkaitan koperasi sepatutnya dibawa kepada Suruhanjaya Pertubuhan Koperasi Malaysia (MCSC),” kata Harris.

————————————-

Mahkamah tolak injunksi halang penyenaraian FELDA

KEMASKINI Cubaan pembangkang menggunakan lapan peneroka menfailkan permohonan injunksi bagi halang Koperasi Permodalan Felda (KPF) daripada melupuskan ekuiti dalam Felda Holdings Berhad (FHB) kepada Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) ‘sangkut’ selepas ditolak Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan pada Isnin.

Hakim Mariana Yahya membuat keputusan tersebut dalam kamar berkata bahawa adalah pramatang untuk injunksi terhadap proses penyenaraian sedangkan keputusan untuk pelupusan ekuiti belum  dibuat lagi.

Peguam plaintif Mohd Harris Abdullah berkata mahkamah juga mendapati dakwaan mereka bahawa KPF memiliki 51% saham di FHB bernilai RM3.13bil tidak dibuat berdasarkan bukti kukuh.

Beliau menambah bahawa hakim berkata mahkamah bukan saluran yang betul untuk kes tersebut kerana isu-isu koperasi ‘perlu diambil dengan Suruhanjaya Koperasi.

Sebelum ini, lapan peneroka tersebut memfailkan permohonan bagi mendapatkan perintah injunksi bagi menghalang koperasi itu daripada membuat sebarang keputusan pada mesyuarat agung luar biasanya (EGM) pada 22 Februari lalu. – AGENDADAILY

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.