Majlis Peguam tidak faham undang-undang pilihan raya – Abdul Aziz - pakdin.my

pengerusi-spr-prk-sg-limau

Bakal calon PKR bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak melanggar mana-mana undang-undang pilihan raya seperti didakwa sesetengah pihak berhubung isu berkempen awal kerana ketua pembangkang itu secara teknikalnya belum merupakan  calon yang sah.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, tiada mana-mana pihak boleh mendakwa diri mereka sebagai calon PRK Kajang dan turun berkempen selagi tiada pengumuman rasmi dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) kawasan itu Datuk Hasan Nawawi Abdul Rahman pada 11 Mac depan.

Menjelas lanjut Abdul Aziz berkata, SPR hanya mempunyai kuasa untuk mengambil sebarang tindakan selepas bermula tempoh rasmi untuk berkempen iaitu selepas selesai penamaan calon pada 11 Mac sehingga jam 12 tengah malam 22 Mac.

Menurut Abdul Aziz, sebelum hari penamaan calon, SPR tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang berkempen kerana tiada undang-undang yang memberikan kuasa kepada mereka berbuat demikian.

“Tanggungjawab memantau sebarang aktiviti kempen sebelum bermula tempoh rasmi berkempen terletak di bawah agensi lain termasuk polis dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), manakala SPR hanya boleh menasihati sahaja,” jelas Abdul Aziz lagi.

Abdul Aziz berkata demikian bagi mengulas gesaan Majlis Peguam pada Selasa yang mahu SPR mengambil tindakan terhadap parti yang memulakan kempen sebelum hari penamaan calon bagi PRK DUN Kajang.

Presidennya Christopher Leong berkata, SPR harus menguatkuasa undang-undang, tidak kira sama ada terhadap Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PR).

“Saya ucapkan terima kasih kepada Majlis Peguam kerana memberikan respon. Ini positif. Tapi mungkin mereka tidak faham (SPR tidak mempunyai kuasa perundangan sebelum hari penamaan calon),” jawap Abdul Aziz.

“SPR hanya boleh menasihatkan sahaja kepada semua pihak agar tidak berkempen. Sebelum penamaan calon, kuasa di tangan polis,” katanya.

Semakan bnbbc.my ke atas semua undang-undang dan peraturan berkaitan pilihan raya iaitu Akta Pilihan Raya 1958, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5), Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981, Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 juga mendapati memang tiada peruntukan yang memberikan kuasa kepada SPR bertindak sebelum hari penamaan calon.

Sementara itu portal Berita Harian Online melaporkan polis sudah memulakan siasatan terhadap Anwar kerana gagal memberikan notis 10 hari sebelum berkempen di Kajang seperti yang disyaratkan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar dilaporkan berkata, pihaknya tidak menerima sebarang notis daripada Anwar berhubung aktiviti kempen atau ceramah beliau di Kajang seperti yang dikehendaki akta berkenaan.

Menurut beliau polis boleh menyiasat tindakan Anwar mengikut akta itu kerana kempen rasmi PRK hanya boleh dilakukan selepas penamaan calon 11 Mac nanti.

Anwar pula menafikan beliau melanggar undang-undang pilihan raya sebaliknya bertegas BN yang sudah melancarkan kempen agresif terhadap beliau melalui media yang dikawal parti itu.

SPR menetapkan 23 Mac sebagai hari mengundi PRK Kajang berikutan peletakan jawatan ADUN PKR, Lee Chin Cheh 27 Januari lalu.

UTAMAPOLITIKMajlis Peguam tidak faham undang-undang pilihan raya – Abdul Aziz

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium