26.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, January 16, 2021

Majlis Pertunangan : Pejabat PM Kata Dakwaan Rafizi Mengarut

Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli membuat dakwaan bahawa majlis pertunangan anak perempuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berlangsung pada 17 Jun tahun lalu dibuat menggunakan wang kerajaan.

Rafizi mendakwa majlis itu menelan kos berjumlah RM409,767 dan bil majlis tersebut dialamatkan kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Bagaimanapun, sumber yang rapat dengan Pejabat Perdana Menteri memberitahu Mynewshub.my, jumlah perbelanjaan pertunangan anak Perdana Menteri (PM) yang didakwa Rafizi adalah satu rekaan memandangkan perbelanjaan sebenar adalah lebih rendah daripada itu.

“Rafizi banyak mengarut memandangkan PM tidak menggunakan wang kerajaan untuk membiayai majlis tersebut.

“Perbelanjaan sebenar yang terlibat ditanggung sepenuhnya oleh Datuk Seri Najib dan ahli keluarga (adik-beradik beliau) yang lain tanpa melibatkan wang kerajaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sumber itu berkata, memang ada bil yang dihantar ke pejabat PM tetapi bukan untuk dibayar oleh kerajaan.

Katanya, bil itu dituju terus kepada Perdana Menteri sendiri kerana beliau sejak awal lagi telah membuat keputusan tidak mahu wang kerajaan dilibatkan dalam majlis peribadinya.

“Dengan hanya kerana bil dialamatkan ke Pejabat Perdana Menteri tidak bermakna wang kerajaan telah digunakan dalam hal pertunangan itu,” katanya.

Sehubungan itu, sumber berkenaan menuntut agar Rafizi tampil membuktikan bahawa kerajaan ada membayar jumlah wang yang didakwa dibelanjakan itu.

Bagi berlaku adil dan mempermudahkan kerja, sumber itu meminta Rafizi agar menghubungi syarikat yang terbabit mengendalikan majlis tersebut.

“Maklumat daripada syarikat tersebut boleh dijadikan rujukan oleh Rafizi untuk mengetahui siapa yang membayar dan berapa jumlah yang dikeluarkan,” katanya.

Beliau menambah, Rafizi selaku Pengarah Strategik PKR sepatutnya merasa malu kerana membuat tuduhan dan kenyataan secara melulu serta tanpa bukti yang sewajarnya.

Sementara itu, Mynewshub juga difahamkan bahawa Pejabat Perdana Menteri akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi berhubung perkara tersebut bagi menangkis tomahan lliar yang dibuat oleh Rafizi.

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.