Majoriti besar tolak Belanjawan 2021 - pakdin.my

Sejak beberapa hari ini perbincangan tentang undian Belanjawan 2021 menjadi topik yang hangat.

Perbincangan berkenaan kelulusan Belanjawan 2021 bukan sekadar tentang persoalan wang yang akan dibelanjakan negara pada tahun hadapan, tetapi ia berkait persoalan yang wujud sejak Mac 2020 — adakah kerajaan hari ini benar-benar memiliki majoriti?

Selepas beberapa usaha ahli Parlimen mengusulkan undi tidak percaya kepada perdana menteri gagal, Belanjawan 2021 dilihat sebagai platform terbaik untuk membuktikan legitimasi.

Saya tidak pasti adakah pembentukan kerajaan yang baharu akan berlaku, tetapi saya yakin Belanjawan 2021 akan ditolak oleh ahli-ahli Parlimen.

Melihat reaksi yang tidak seberapa dari Perikatan Nasional terhadap tuntutan Barisan Nasional membuatkan saya yakin belanjawan ini akan ditolak dengan majoriti yang agak besar.

Apabila belanjawan ditolak, kita harus datang dengan belanjawan yang baru.

Secara umumnya, dalam sistem Westminster, apabila belanjawan tahunan yang diusulkan sesebuah kerajaan itu ditolak, ia bermakna kerajaan itu sudah tidak memiliki majoriti mudah untuk menjadi kerajaan.

Jika keadaan ini berlaku, perdana menteri secara etikanya harus bertemu Yang Di-Pertuan Agong untuk meletakkan jawatan atau menasihatkan Agong untuk membubarkan Parlimen.

Itulah gambaran yang akan berlaku pada hari pengundian, walaupun saya pasti kerajaan Perikatan Nasional akan berusaha mencari jalan untuk terus berkuasa.

Saya kurang berminat untuk berbahas tentang situasi politik ini, saya lebih berminat untuk membincangkan apa yang perlu difokuskan pada belanjawan baharu.

Tidak kiralah siapa yang akan menjadi kerajaan selepas Belanjawan 2021 ditolak, kerajaan itu perlu untuk mengeluarkan belanjawan baharu untuk 2021.

Saya berpandangan ia adalah peluang untuk kita melihat semula beberapa perbelanjaan yang tidak diperlukan, dan fokus membelanjakan wang untuk ‘survival’ rakyat ketika ramai yang sedang bergelut untuk meneruskan kehidupan.

Pertama hapuskan belanjawan yang tidak berfaedah seperti yang diperuntukkan untuk Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan perbelanjaan pembangunan yang lain.

Pakatan Harapan mencadangkan belanjawan pembangunan yang tidak perlu boleh dipindahkan ke Tabung Covid-19 — saya rasa ia cadangan yang perlu dipertimbangkan.

Kemudian, definisikan semula golongan rentan (vulnerable populations) — kerana seperti yang saya pernah tulis sebelum ini, kerajaan salah dalam menafsirkan golongan rentan.

Kumpulan rentan tegar adalah mereka yang langsung tidak mempunyai apa-apa perlindungan sosial seperti Skim Insurans Pekerjaan (SIP) atau simpanan KWSP.

Untuk kumpulan rentan tegar ini saya mencadangkan kerajaan mula melakukan kajian tentang jumlah mereka, dan memperkenalkan Universal Basic Income (UBI) dan jaminan pekerjaan kepada mereka.

UBI sebelum pandemik Covid-19 sering dilihat idea sosialis yang populis. Barangkali dalam keadaan normal ia boleh dikatakan populis, tapi melihat kepada kesan daripada Covid-19, langkah ekstrem perlu diambil.

Semalam saya membaca sebuah laporan akhbar yang menyatakan UBI mula dilaksanakan di Eropah, walaupun sebelum ini mendapat tentangan ramai. Mereka faham, dalam keadaan yang terdesak, langkah yang terdesak diperlukan.

Di Jerman misalnya, orang mula berpusu-pusu untuk mendaftarkan diri dalam program kajian UBI yang menyaksikan individu akan dibayar €1,200 (lebih kurang RM5,829) sebulan.

Di United Kingdom pula, lebih 100 wakil rakyat menyeru supaya UBI dilaksanakan untuk membantu rakyat — termasuk wakil rakyat yang pernah menentang UBI seperti Christine Jardine.

Jika kita merasakan pelaksanaan UBI secara menyeluruh di negara kita adalah langkah yang terlalu tergesa-gesa, kita boleh mula melakukan “pilot test” di tempat-tempat yang terkesan teruk akibat sektor ekonomi ditutup, misalnya di Sabah.

UBI pula tidak semestinya datang dalam bentuk pemberian wang semata-mata — ia juga boleh diberikan dalam bentuk baucar pembelian makanan.

Kita dapat melihat banyak cerita rakyat yang terputus bekalan makanan akibat kehilangan kerja atau sumber pendapatan. Kita harus mempunyai sifar toleransi kepada kebuluran, ini sudah 2020!

Saya harap kerajaan pacsa penolakan Belanjawan 2021 nanti akan memikirkan nasib rakyat-rakyat rentan tegar, kerana mereka sering diabaikan.

Kita harus cemas, perbelanjaan tahunan negara juga harus kelihatan cemas. Ia tidak boleh disulam dengan angka-angka yang terlalu optimis.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, sudah 266 orang membunuh diri — majoriti daripadanya tersepit dek hutang.

Saya percaya UBI adalah kaedah yang sekurang-kurangnya akan memberi pelegaan kepada rakyat.

Ayuh kita gantikan Belanjawan 2021 dengan belanjawan rakyat yang lebih inklusif!

Oleh Rahman Imuda

UTAMABERITAMajoriti besar tolak Belanjawan 2021

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium