‘Makanan kuda Mahathir lagi mahal dari quinoa saya’ - pakdin.my

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini memulangkan paku buah keras kepada pengkritik utamanya Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu diet sihatnya.

Mempertahankan diet quinoa – bijian mahal dari Amerika Selatan – yang diamalkannya, Najib berkata kos ditanggung beliau tidaklah sebanyak makanan kuda Mahathir.

“Saya sebut makan quinoa pun jadi isu. Makanan ini ubat macam kita makan madu, vitamin. Tapi nasi lemak, nasi Vanggey pun saya makan.

“Tapi adakah Dr Mahathir fikir pasal makanan kudanya yang lebih mahal?

“(Beri) makan kuda lebih mahal dari (beri) makan manusia. Saya ingat sebulan (beri) makan kuda, tiga tahun (saya boleh) makan quinoa. Beri makan kuda lebih mahal dari makan quinoa. Berapa ekor dia (Dr Mahathir) ada, tanya dia.

“Lepas itu dia bercuti di Argentina pula main kuda. Apa yang mahal sangat quinoa tu, apalah nak jadi isu,” katanya seperti dipetik Malaysia Gazette pada majlis pertemuan dengan pemimpin di Negeri Sembilan hari ini.

Laporan sama turut disiarkan Sin Chew Daily.

Perdana menteri dipercayai merujuk dakwaan bahawa Dr Mahathir mempunyai ladang ternak kuda di Argentina.

Najib pada Khamis lalu dalam sesi perkongsian atas talian berhubung Bajet 2018 di Universiti Kebangsaan Malaysia mendedahkan beliau beralih dari makan nasi kepada makan quinoa untuk diet pemakanannya atas cadangan anaknya.

Pemimpin pembangkang tampil memperlekeh kenyataan Najib itu dengan mendakwa beliau tidak faham penderitaan rakyat kerana hanya makan makanan mahal.

Anak Najib berdikari

Sementara itu, kontroversi itu turut menaikkan nama anak perdana menteri, Ashman yang mempunyai syarikat import quinoa.

Pembantu khas perdana menteri, Datuk Rizal Mansor hari ini tampil berkata, isu ini membuktikan Ashman sebagai anak perdana menteri tidak bergantung kepada bapanya dengan menjalankan perniagaan sendiri.

Rizal turut berkata, selain tidak terlibat dalam bisnes dengan kerajaan, Ashman sebagai anak perdana menteri juga tiada perniagaan perkapalan, tidak mendapat kontrak dari Petronas dan tidak menggunakan kuasa bapanya untuk mendapat sebarang projek atau kontrak daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Secara tidak langsung ia membawa maksud yang perdana menteri hari ini tidak menggunakan kuasanya untuk kepentingan perniagaan ahli keluarganya.

Anak sendiri hendak berniaga kena usaha sebagaimana orang lain hendak berniaga,” kata Rizal.

Rizal berkata demikian sebagai menyindir Dr Mahathir dan anaknya yang didakwa terlibat dalam petroleum dan perkapalan selain syarikat berkaitan kerajaan ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri.

UTAMAPOLITIK'Makanan kuda Mahathir lagi mahal dari quinoa saya'

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium