Malaysia minat anjur Sukan SEA 2027 #pakdin.my

Malaysia menerusi Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyatakan minat untuk menjadi tuan rumah kepada Sukan SEA ke-34 pada tahun 2027 nanti.

Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata demikian selepas Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) menghubungi MOM berhubung kebarangkalian menganjurkan temasya sukan itu susulan penarikan diri Brunei yang sepatutnya menjadi hos pada edisi berkenaan.

“Mesyuarat telah bersetuju menghantar surat ‘Expression of Interest’ (tunjuk minat) ke SEAGF manakala MOM akan memanjangkan makluman ini kepada kerajaan dan perbincangan lanjut akan diadakan pada masa yang sesuai.

Atas semangat friendship (persahabatan) bersama SEAGF, I think most likely we have a good chance to secure that (Saya rasa kami mempunyai peluang yang baik untuk mendapat hak penganjuran),” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM kali ketiga sesi 2021/2025 di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan pihaknya akan melihat kepada kemampuan kewangan negara selain isu pandemik COVID-19 sebelum memutuskan untuk menganjurkan Sukan SEA itu.

Ditanya sama ada Sukan SEA ke-34 bakal menjadi platform persediaan buat Malaysia menganjurkan Sukan Asia 2038, beliau berpendapat faktor fasiliti dan tahap aktif sukan atau atlet perlu diambil kira sebelum berminat menjadi tuan rumah temasya itu.

Malaysia sebelum ini telah menganjurkan Sukan SEA sebanyak enam kali iaitu 1965, 1971, 1977, 1989, 2001 dan 2017 namun belum pernah menjadi hos Sukan Asia.

Dalam pada itu, Mohamad Norza memaklumkan mesyuarat telah bersetuju untuk melantik Penolong Bendahari MOM Datuk Mohd Nasir Ali sebagai Ketua Kontinjen (CDM) Sukan SEA ke-32 di Kemboja tahun depan manakala Presiden Persatuan Squash Malaysia, Gerard Monteiro dilantik Timbalan CDM bagi Sukan Komanwel Birmingham, United Kingdom, Julai ini.

Beliau pada masa sama berkata Larian Baton Sukan Komanwel peringkat Malaysia akan diadakan 20 Jan ini di sebuah hotel di ibu negara dengan baton akan berada di sini sehingga 25 Jan.

Sementara itu, beliau memaklumkan setakat ini dua atlet alpine ski iaitu Jeffrey Webb dan Aruwin Sallehudin telah layak beraksi pada Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 di China pada 4 hingga 20 Feb ini manakala majlis penyerahan Jalur Gemilang akan diadakan pada 19 Jan.

Mengenai isu penstrukturan semula barisan kejurulatihan badminton negara, Mohamad Norza yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menjangkakan satu keputusan akan diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM Datuk Kenny Goh dalam masa terdekat.

Berkaitan