Mana janji Syed Saddiq – Atlit Para, Shukor Farhan kini berniaga jus jambu tepi jalan

“Memang tidak ada apa-apa perkembangan terkini mengenai bantuan daripada menteri atau pihak lain. Maknanya cerita (bantuan) itu senyap begitu saja,” kata atlet para, Shukor Farhan Suliman.

Pemenang pingat emas acara tiga kilometer kejar-mengejar berbasikal individu di Sukan Para Asean 2017 itu berkata, disebabkan itu fokusnya kini mencari pendapatan dengan mengusahakan kedai gunting rambut dan gerai jualan jus jambu.

Apatah lagi, katanya, isterinya, Norhasliza Zainal, 24, dijangka melahirkan anak sulung mereka pada 21 Februari ini menyebabkan dia perlu bertungkus lumus mengumpul wang untuk perbelanjaan keluarga.

“Dalam pertemuan dengan Syed Saddiq (Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) di rumahnya bulan lalu, beliau maklumkan akan beri bantuan.

“Beliau kata akan cuba sedaya upaya untuk bantu kebajikan kami, tapi apa bantuannya memang tidak jelas. Malah, sampai sekarang tidak ada apa-apa berita mengenai bantuan itu dan saya tidaklah sampai nak menagih bantuan,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan, Syed Saddiq menemui Shukor Farhan, 23, yang juga bekas pelumba basikal para kebangsaan dan jurumudi pelumba basikal buta, Mohd Nur Syafiq Suhaimy, 27, yang tidak ditawarkan semula menjadi atlet sepenuh masa menerusi program Majlis Sukan Negara (MSN) dan bersedia membantu mereka.


“Buat apa untuk menganjurkan kembali perlumbaan F1 di negara ini, sedangkan kebajikan atlet tidak terbela.” katanya dengan nada kecewa.

Mengulas lanjut, Shukor Farhan berkata, disebabkan masalah yang berlaku, dia kini meletakkan noktah untuk kembali mewakili negara dalam sukan lumba basikal para.

“Kalau ikutkan sebagai atlet memang niat saya untuk terus mewakili negara. Namun memandangkan apa dilakukan oleh MSN, saya jadi kecewa dan tawar hati.

“Bayangkan kontrak saya ditamatkan serta-merta pada Disember lalu dan saya dapat tahu pun pada waktu sama. Sebagai manusia biasa memang saya rasa kecewa dan tertekan punca pendapatan hilang begitu saja, dengan isteri hendak bersalin tidak lama lagi.

“Ketua pengarah ada tawar untuk masuk semula MSN, tapi saya cakap buat apa, nanti saya akan berada bersama orang yang sama dan lambat-laun, akan ditendang keluar juga apabila tidak disukai,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap pihak Kementerian Belia dan Sukan segera menambah baik isu kebajikan atlet agar mereka tidak mengalami masalah sama pada masa depan.

Loading...

5 KOMEN

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini