Mana projek kebajikan Islam selepas 21 tahun perintah Kelantan ? - pakdin.my

AGENDADAILY – CAKAP mengenai Negara Berkebajikan memang senang, tapi mana hasilnya? Mana satu projek kebajikan berasaskan Islam yang dilaksanakan PAS yang sudah 21 tahun mentadbir negeri Kelantan sejak 1990.

Itu soalan yang sesuai untuk ditanya kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Aziz yang mendakwa bahawa projek-projek kebajikan yang dilakukan oleh UMNO tidak menepati kehendak Islam.

21 tahun bukan tempoh singkat, sepatutnya jika benar PAS perjuangkan negara kebajikan sudah ada projek yang boleh dijadikan kayu ukur kepada slogan tersebut.

Apa yang pasti, jangan kata projek besar, perkara asas kepada sesebuah negara iaitu rumah kepada penduduk miskin pun kerajaan Kelantan abaikan, lagi mahu bercakap soal kebajikan Islam?

Sebab itu cabaran Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi amat kena pada masanya. Zahid mahu kerajaan PAS di Kelantan kemuka model projek negara kebajikan berasaskan Islam yang dilaksanakan sepanjang 21 tahun parti itu memerintah Kelantan.

Menurutnya, PAS tidak perlu menuduh UMNO kononnya projek-projek yang dijalankan sebelum ini tidak menepati kehendak Islam jika mereka gagal menunjukkan model yang telah dilakukan.

“Walaupun diberi peluang dalam tempoh yang panjang setahu saya tiada apa-apa model yang boleh ditunjukkan,” katanya selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Machang pada Sabtu.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata kerajaan Persekutuan memperuntukkan lebih RM78 juta setahun untuk membantu rakyat yang kurang berkemampuan dalam pelbagai bidang.

Katanya ini termasuk subsidi kepada golongan petani dan nelayan, orang tua, orang kurang upaya (OKU), buku teks dan bantuan wang kepada pelajar miskin.

“Adakah pemberian itu tidak berasaskan Islam,” katanya.

Beliau berkata alasan itu cuma untuk mengaburi rakyat apabila parti itu gagal dengan misi untuk membangun sebuah negara Islam dengan yang terbaru menukarkannya untuk membangun sebuah negara berkebajikan berasaskan desakan DAP.

Ahmad Zahid berkata jika parti itu ikhlas untuk membangun sebuah negara Islam dan dengan menampilkan perlembagaannya sebagaimana yang dituntut oleh Islam, UMNO akan menyokongnya.

Beliau berharap perjuangan yang tidak konsisten itu dapat membuka mata pengundi yang berada “atas pagar” agar mereka menyokong UMNO yang benar-benar ikhlas untuk perjuangan bangsa dan agama pada pilihan raya umum akan datang. – 19/6/2011

UTAMAPOLITIKMana projek kebajikan Islam selepas 21 tahun perintah Kelantan ?

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium