Mangsa kebuluran Somalia mohon maaf - pakdin.my

Pengarah Eksekutif Malaysian Relief Agency (MRA), Mohd. Shahrulazilan Said

KUALA LUMPUR 5 Sept. – Wakil beberapa kem pelarian di Gorawe, Somalia hari ini meminta maaf kepada rakyat Malaysia di atas kematian jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd. Nor pada Jumaat lepas akibat terkena tembakan peluru sesat di Mogadishu.

Permohonan maaf yang disampaikan melalui Pengarah Eksekutif Malaysian Relief Agency (MRA), Mohd. Shahrulazilan Said itu turut menyatakan kekesalan mereka terhadap insiden malang tersebut.

“Walaupun kedudukan Garowe terletak 500 kilometer dari Mogadishu, namun berita menyayat hati itu turut dirasai mangsa-mangsa kebuluran di sini.

“Kebanyakan mereka nyata kesal dengan kejadian yang berlaku memandangkan pengorbanan besar yang terpaksa dilakukan arwah terhadap mereka di sini,” katanya ketika dihubungi di sini.

Menurut Mohd. Shahrulazilan, insiden itu juga menyebabkan pihak kerajaan Somalia mula mempertingkatkan kawalan keselamatan kepada sukarelawan MRA secara drastik.

“Dengan pelbagai kemungkinan bahaya, kami semua kini berada di dalam keadaan berjaga-jaga, malah pergerakan saya juga turut dikawal ketat pihak tentera kerajaan Somalia di sini.

“Untuk mengurangkan risiko, tumpuan MRA kini hanya kepada mangsa yang berada di kem di bahagian utara negara itu sahaja memandangkan Mogadishu masih bergolak,” katanya.

Sementara itu, menurut beliau, kebakaran khemah di kem-kem pelarian kini turut menjadi ancaman utama kepada mangsa kebuluran.

Tambah beliau, kejadian kebakaran yang kerap berlaku di beberapa kem pelarian di negara itu menyebabkan kira-kira 40 khemah musnah secara serentak.

“Kebanyakan khemah yang dibina mangsa diperbuat daripada bahan mudah terbakar seperti kertas dan kayu.

“Bagi mengurangkan masalah kebakaran di kem-kem ini, beberapa agensi kemanusiaan lain turut mengadakan beberapa kempen khas bagi memberi kesedaran mengenai langkah-langkah keselamatan yang harus diambil kira,” katanya.

UTAMABERITAMangsa kebuluran Somalia mohon maaf

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium