Masa perlukan pemimpin berprinsip, bermoral – Mohamad - pakdin.my

UMNO mesti mengembalikan kepemimpinan berprinsip dan bermoral dalam usaha memulih dan membangunkan parti itu yang kini berdepan dengan krisis kepercayaan.

Perkara itu disuarakan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang percaya parti keramat orang Melayu itu perlu kembali kepada fitrah bahawa setiap pemimpin mesti diyakini kerana kebenaran nurani dan bukan kerana kuasa.

“UMNO akan terus susut tanpa pemimpin berprinsip dan mempunyai wibawa moral yang utuh. Ia hanya akan kembali pulih, jika kita boleh mencari pemimpin yang percaya bahawa berpegang kepada prinsip adalah perjuangan yang sebenar-benar perjuangan.

“Telah tiba masanya kita mencari mereka yang yakin dengan ideologi UMNO yang hakiki. iaitu memperjuangkan politik pertengahan yang akan membuahkan kebaikan kepada bangsa Melayu dengan seba­nyak-banyaknya, tanpa menga­baikan kepentingan rakyat Malaysia yang lain,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebook beliau hari ini.

Tambah Mohamad lagi, ha­nya mereka yang percaya dengan prinsip dan meyakini ideologi tersebut akan mampu memberikan kepemimpinan berwibawa untuk bangsa Mela­yu dan Malaysia yang berkemajuan.

“Jika ada kudrat, insya-Allah, inilah sebahagian dari apa yang saya akan ikhtiarkan untuk UMNO yang tenat ini. Mencari dan membangunkan pemimpin baharu yang berprinsip dan mempunyai kekuatan rohani serta moral yang unggul.

“Tanpa mereka sebegini, bukan sahaja UMNO, malah mana-mana parti politik sekalipun, pasti akan menempuh detik pengakhirannya,” kata beliau.

Sementara itu, beliau turut menzahirkan rasa bimbang ekoran perkembangan politik yang menimpa UMNO ketika ini selain sedih apabila banyak pemimpin yang telah meninggalkan perjuangan parti itu.

“Tetapi inilah politik, masing-masing ada perhitungan sendiri dan mereka pasti mempunyai rancangan sendiri dan kita harus menghormatinya. Tiada paksaan dalam sebarang perjuangan, kese­tiaan bukan sesuatu yang kita boleh tuntut daripada sesiapa pun,” ujar beliau.

Walau bagaimanapun, Mohamad menegaskan bahawa yang mesti ada dalam perjua­ngan ialah prinsip kerana perjuangan tanpa prinsip ialah sesuatu yang rapuh dan pasti tidak berkelangsungan.

“Perjuangan yang berprinsip ialah perjuangan yang terbit daripada keyakinan moral yang mendalam bahawa apa yang kita perjuangkan itu, dapat kita benar-benar jiwai,” jelas beliau.

https://pakdin.my/tag/lompat-parti

UTAMAPOLITIKMasa perlukan pemimpin berprinsip, bermoral – Mohamad

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium