Friday - July 30, 2021 @ 18:56
BERITANASIONALMaut jatuh tingkat empat

Maut jatuh tingkat empat

Mangsa menemui maut selepas terjatuh dari tingkat empat.

JOHOR BAHRU – Seorang remaja maut selepas terjatuh dari tingkat empat sebuah bangunan institusi pengajian tinggi (IPT), di sini dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Beh Eng Lai berkata, mangsa yang berumur 16 tahun bersama dua rakannya sedang membuat pemasangan alat penghawa dingin di bangunan berkenaan.

Menurutnya, mangsa yang merupakan pekerja teknikal pada mulanya mengadu sakit kepala sebelum disedari rakan terjatuh dari tingkat empat bangunan tersebut.

“Rakan mangsa menyuruhnya berehat selepas mengadu sakit kepala sementara rakannya meneruskan kerja pemasangan alat penghawa dingin di bangunan itu.

“Bagaimanapun sebaik rakannya menoleh, dia mendapati mangsa telah tiada dan ditemui terbaring di tingkat bawah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.

Eng Lai berkata, mangsa telah dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan kecemasan, tetapi menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 12.45 petang, semalam.

Menurutnya, hasil siasatan dan bedah siasat yang dijalankan mengesahkan kematian mangsa yang beralamat di Tampoi itu tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan menunjukkan punca kematian mangsa disebabkan kecederaan parah di bahagian kepala dan tidak melibatkan unsur jenayah.

“Mayat mangsa telah dituntut keluarga petang tadi (semalam) untuk urusan pengebumian,” katanya.

Berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here