Mayat bayi berulat ditemui dalam plastik sampah

LANGKAWI – Mayat seorang bayi yang cukup sifat ditemui dalam keadaan sudah berulat berhampiran kawasan semak di tepi jalan Kampung Dato Syed Nahar, Kuah di sini hari ini.

Mayat bayi di dalam plastik sampah berwarna hitam itu ditemui penduduk kampung di satu kawasan pada jarak lima meter dari jalan bertar kira-kira pukul 9 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang wanita memaklumkan tentang penemuan satu objek menyerupai mayat bayi di dalam plastik sampah.

“Mengikut keterangan yang diambil, wanita itu memaklumkan telah menyedari bungkusan plastik hitam tersebut di tepi jalan sejak tiga atau empat hari lepas.

“Dia bagaimanapun tidak menghiraukannya kerana menyangkakan ia hanya mengandungi sampah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, pengadu bagaimanapun berasa curiga apabila terhidu bau busuk daripada bungkusan plastik berkenaan sebelum bertindak membukanya pagi tadi.

“Wanita itu terkejut apabila mendapati ia mengandungi satu objek berupa bayi dalam keadaan dipenuhi ulat sebelum memaklumkannya kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Menurut Mohd. Iqbal, jantina dan umur bayi tersebut tidak dapat dikenal pasti kerana keadaan mayat yang dipenuhi ulat.

“Tiada dokumen lain ditemui di lokasi kejadian dan mayat bayi akan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk dibedah siasat,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat bayi. – K! ONLINE

Comment (1)

  1. Mustapha Ismail May 2, 2019 @ 21:24

Leave a Reply