MB Bantah Keputusan Persekutuan Adakan PKPB Di Selangor - pakdin.my

Kerajaan negeri membantah keputusan Kerajaan Persektuan mengadakan berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor secara mengejut.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata hanya tiga kawasan di Selangor yang menunjukkan peningkatan kes berbanding daerah lain yang masih dikategorikan sebagai zon hijau.

“Pengumuman PKPB di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya oleh Menteri Kanan (Keselamatan) sebentar tadi agak mengejutkan kerajaan negeri kerana keputusan mesyuarat tadi menunjukkan hanya Klang, Gombak, Hulu Langat dan sebahagian Petaling yang mempunyai bilangan kes yang membimbangkan.

“Sehingga hari ini, secara konsensus kerajaan negeri melihat ada beberapa cadangan tertentu yang boleh dikemukakan untuk pertimbangan MKN.

“Kerajaan negeri berpandangan bahawa beberapa kawasan yang masih dikategorikan zon hijau dan kuning seperti Sabak Bernam dan Kuala Selangor adalah masih terkawal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amirudin berkata, kerajaan negeri akan menghantar cadangan balas kepada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan segera agar dapat diberi pertimbangan semula.

“Kerajaan negeri berharap semua pihak bersedia dengan perubahan ini agar sama-sama kita berjaya mengawal penularan wabak Covid-19.

“Kerajaan negeri juga sangat menghargai komunikasi krisis yang lebih efektif dan konklusif membabitkan semua pihak agar sebarang ketetapan yang diambil tidak menghasilkan sebarang bentuk ketidaktentuan pelaksanaan yang akan memberi impak kepada petugas barisan hadapan, rakyat lebih-lebih lagi pengusaha industri kecil dan sederhana,” katanya lagi.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat MKN Selangor bersama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Diraja Malaysia (ATM) dan lain-lain agensi untuk pelaksanaan PKPB di daerah Petaling berikutan peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19 yang membimbangkan.

UTAMABERITAMB Bantah Keputusan Persekutuan Adakan PKPB Di Selangor

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium