MB Kedah disiasat pandu uji kereta di P. Pinang

Polis membuka kertas siasatan berhubung gambar dan video tular dipercayai membabitkan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor yang didakwa memandu uji kereta di sebuah pusat jualan dan pameran kenderaan di Autocity Juru di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad berkata, kes  disiasat mengikut  Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

“Ya, polis buka kertas siasatan berhubung gambar dan video tular tersebut. Siasatan lanjut sedang dijalankan

“Polis juga akan memanggil semua pihak terlibat termasuk penjual kereta, Menteri Besar (Kedah) dan mereka yang ada semasa kejadian itu,” katanya kepada pemberita lapor Utusan Malaysia hari ini.

Semalam seorang pengguna Facebook memuat naik hantaran dan beberapa keping gambar di dalam laman sosial yang mendakwa beberapa individu termasuk dipercayai Muhammad Sanusi memandu uji sebuah kereta di pusat jualan dan pameran kenderaan di Autocity Juru ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Hantaran itu tular di dalam laman sosial media dan mendapat kecaman netizen yang melahirkan rasa tidak puas hati termasuk mendesak polis menjalankan siasatan dan mengambil tindakan.

Meskipun hantaran asal pengguna Facebook itu  dipadamkan, namun ia sempat dikongsikan dan ditular semula di akaun Facebook pihak lain sehingga kini.

 

Berkaitan