Media jadi perantara – @NajibRazak - pakdin.my

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, media akan dicop sebagai tidak berkhidmat kepada rakyat dan kerajaan sekiranya gagal untuk memainkan peranan sepatutnya sebagai cerminan nurani, aspirasi, denyut nadi dan keluh kesah rakyat dengan menyebarkan maklumat secara adil dan tepat.

Perdana Menteri berkata, media sebaliknya perlu menjadi pendidik, mampu memberi advokasi dan mencetuskan debat terhadap isu semasa, dasar awam dan kepentingan umum secara bertanggungjawab sebelum layak digelar organisasi yang benar-benar berkhidmat untuk negara.

“Kerajaan amat menyedari keperluan dan peranan media yang bebas, adil dan bertanggungjawab terhadap pembangunan dan perkembangan sesebuah negara dan kita perlu bersyukur kerana Malaysia sejak merdeka sudah mempunyai tradisi media seumpama ini.

“Tapi hakikatnya, kenapa ada negara berjaya dan kenapa pula ada negara yang dikategorikan sebagai gagal? Apakah faktor yang menentukan jaya atau gagal sesebuah negara? Adakah ia faktor sumber asli, kepemimpinan, institusi, corak demografi, geografi, sistem nilai atau kombinasi faktor tersebut atau faktor lain yang tak disebut? “Jawapan kepada persoalan ini bukan mudah, tetapi saya percaya dan yakin peranan serta kepentingan pihak media tidak dapat dinafikan (dalam perkara itu),” katanya ketika berucap pada Malam Wartawan Malaysia 2012, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Komunikasi, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Najib berkata, kerajaan sangat menghormati media sebagai entiti bebas yang melaksana peranan imbang periksa terhadap pentadbiran kerajaan kerana seperti era kerajaan mengetahui segala-galanya dan era kerajaan mempunyai monopoli terhadap kebijaksanaan sudah berakhir.

“Inisiatif serta langkah yang telah dijalankan kerajaan selama ini barangkali digemari pihak antarabangsa menyebabkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2011 bertambah baik berbanding tahun sebelumnya dan di kalangan 178 negara yang dipantau organisasi Reporters Without Borders, kita di tangga 122, naik 19 anak tangga dan di kalangan Asia Tenggara, kita di tangga pertama menewaskan Indonesia.

“Tetapi sebelum dibuai penilaian itu, ingin saya tegaskan jangan terlalu taksub atau menjadikan penarafan itu pengukur kebebasan media kita,” katanya.

Terdahulu, Najib berkesempatan menyampaikan Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2011 dengan jumlah keseluruhan bernilai RM300,000 dengan Anugerah Kajai (pengiktirafan tertinggi) dimenangi oleh wartawan Utusan Malaysia, Mohd Asron Mustapha dan Mohd Termizi Che Anuar.

Kedua-duanya membawa pulang RM30,000 dan 100 gram syiling emas bernilai RM19,000.

Kumpulan New Straits Times Press (NSTP) turut mengungguli kategori Kewartawanan Antarabangsa Cemerlang menerusi Iskandar Alang Bendahara (New Straits Times), Penulisan Rencana Cemerlang, Hasan Omar (Berita Harian) dan Azmi Mohd Anshar serta Chok Suat Ling dari New Straits Times bagi penulisan kolum/ruangan cemerlang yang menggondol wang tunai RM15,000.

UTAMABERITAMedia jadi perantara - @NajibRazak

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium