Media Sosial Bukan Pusat Sumber Maklumat Perlembagaan Malaysia #pakdin.my

media-sosial-peribadi

Media sosial bukan pusat sumber maklumat untuk mendapatkan informasi mengenai Perlembagaan Malaysia, kata Felo Utama Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz.

Sebaliknya, Shamrahayu menyarankan masyarakat merujuk kepada pakar undang-undang atau melalui bahan bacaan daripada sumber yang sahih bagi mengelak kekeliruan tentang Perlembagaan Negara.

“Saya bimbang memandangkan sekarang ramai keluarkan pendapat sendiri dan kongsi di laman sosial atau bercakap dalam mana-mana ceramah.

“Masyarakat tidak perlu takut untuk membaca sendiri Perlembagaan Negara dan rujuk kepada pakar jika tidak faham. Bukan bergantung pada maklumat di media sosial,” katanya selepas membentangkan kertas kerja Sejarah Agama Islam Dalam Perlembagaan pada bengkel Islam Dalam Perlembagaan Malaysia Selasa.

Bengkel sehari yang diadakan di IKIM di sini dihadiri 50 peserta terdiri daripada ahli akademik, wakil badan bukan kerajaan (NGO), pesara kerajaan, kakitangan Biro Tata Negara serta Jabatan Kemajuan Masyarakat.

Antara objektif bengkel adalah mendidik masyarakat memahami kedudukan Islam dalam Perlembagaan Malaysia serta membincangkan beberapa isu semasa berkaitan agama.

Dalam pada itu, Shamrahayu turut menasihatkan masyarakat agar tidak terpedaya dengan maklumat mengenai undang-undang negara yang dibincangkan dalam mana-mana ceramah politik.

“Kalau nak bincang tentang Perlembagaan Malaysia, jangan guna pendekatan politik. Perlembagaan Malaysia adalah milik kita, jadi kita perlu elak menerima maklumat tidak tepat. Boikot mereka yang cuba politikkan Perlembagaan Malaysia,” katanya.

Berkaitan