Melaka United juara kumpulan, Melaka United FC raih kejayaan bermakna #pakdin.my

Melaka United FC melangkah ke suku akhir Piala Malaysia dengan bergaya selaku juara Kumpulan C selepas menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC 2-0 di Stadium Hang Jebat, malam ini.

Lebih manis, kejayaan dilakar skuad kendalian Zainal Abidin Hassan pada aksi terakhir kumpulan itu menyaksikan Melaka United FC mara ke peringkat kalah mati dengan rekod tanpa kalah dan hanya satu keputusan seri untuk mengumpul keseluruhan 16 mata.

Pada aksi itu, pemain tengah Sony Norde menjadi duri dalam daging buat pasukan pelawat apabila gerakannya berjaya mengucar-ngacirkan bahagian pertahanan hingga membawa kepada jaringan pembukaan yang disudahkan Manuel Ott pada minit ke-24.

Jaringan itu menyaksikan Ott meledak bola muntah berpunca tendangan Norde yang gagal ditampan kemas penjaga gol Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim sekali gus menjaringkan gol keempat peribadinya dalam kempen Piala Malaysia.

Tidak menyerah kalah, KDA FC yang turut mengintai gelaran juara kumpulan berusaha memburu gol penyamaan sepanjang perlawanan, namun terpaksa akur dengan kekebalan benteng pertahanan Melaka United FC sebelum skuad tuan rumah menggandakan kedudukan pada penghujung permainan.

Penyerang Giovane Gomes mengesahkan kemenangan Melaka United FC menerusi tandukan pada minit ke-89 sekali gus melengkapkan pencapaian gemilang pasukan dalam saingan kumpulan.

Sebagai juara kumpulan, menanti Melaka United FC di suku akhir adalah Sabah FC yang muncul naib juara Kumpulan D selepas mempamerkan semangat luar biasa untuk mencipta kejutan menewaskan Petaling Jaya (PJ) City FC 1-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan kapten pasukan Risto Mitrevski menerusi sepakan penalti pada minit ke-21 selepas pemain pertahanan Park Taesu dijatuhkan dalam kawasan berbahaya.

Sementara itu, juara Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) menamatkan saingan Kumpulan D dengan rekod kemenangan 100 peratus selepas membelasah Kelantan FC 4-0 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di Kota Bharu.

Tentangan hebat daripada pasukan tuan rumah menyaksikan skuad Harimau Selatan terpaksa menunggu hingga minit ke-48 untuk membuka akaun gol menerusi penyerang Muhammad Syafiq Ahmad.

Leandro Velazquez menjadikan kedudukan 2-0 apabila tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-60 sebelum Guilherme de Paula dan Shahrul Mohd Saad masing-masing menjaringkan gol pertama bersama pasukan pada minit ke-62 dan sebelum wisel penamat.

JDT yang mengumpul 18 mata selaku juara Kumpulan D akan bertembung KDA FC selaku naib juara Kumpulan C pada aksi suku akhir dijadual berlangsung 14 dan 18 Nov.

Aksi suku akhir akan berlangsung secara perlawanan timbal balik.

Berkaitan