Mendapan Jejas Keupayaan Tasik Ringlet Takung Air - pakdin.my

tasik-ringlet-2

Pengaliran air turut membawa bersama sampah sarap dan mendapan menyebabkan tahap kebolehtakungan air di Tasik Ringlet berkurangan dengan ketara berikutan kadar sedimentasi yang tinggi.

Keadaan ini menyebabkan tasik buatan manusia, yang menakung air untuk menjana elektrik di Empangan Hidroelektrik Sultan Abu Bakar, bagaikan bom jangka yang boleh meledak kerana ia sudah tidak mampu lagi menampung kapasiti air yang banyak terutamanya ketika musim hujan melanda.

Pengurus Besar Stesen-stesen Janaelektrik Cameron Highlands, Bahagian Penjanaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Mustafa Hashim berkata perkara itu telah dibincangkan bersama dengan agensi-agensi berkaitan dan risiko berlakunya. limpahan air dari Empangan Sultan Abu Bakar boleh terjadi pada bila-bila masa.

“Selain itu, risiko juga besar bila skrin alur masuk ke terowong stesen janaelektrik Sultan Yussuf tersumbat akibat longgokan sampah yang terlalu banyak seperti sisa tanaman, plastik dan tali antaranya,” jelas Mustafa, yang bertugas di Cameron Highlands sejak 2011.

ALIRAN AIR TERSUMBAT

Air yang mesti mengalir melalui skrin alur masuk setinggi enam meter dan lebar 12 meter sebelum ke terowong di stesen janaelektrik, ada kalanya tersekat, sekaligus menghalang penyaluran air tasik ke terowong untuk penggunaan penjanaan elektrik.

Katanya usaha pembersihan sampah di skrin alur masuk sering dilakukan tetapi hasil yang diperoleh tidak 100 peratus berjaya, ditambah pula dengan kos pembersihan yang tinggi.

Satu daripada cara pembersihan ialah “raking” iaitu sistem pembersihan secara manual untuk menarik sampah daripada kawasan skrin alur masuk ke terowong apabila pihak stesen mendapati paras air yang melalui skrin menurun.

Sistem pembersihan yang menggunakan penyelam berpengalaman, biasanya dilakukan pada waktu malam, kerana empangan ini beroperasi secara sistem ‘peaking’, iaitu tidak membenarkan pembersihan dilakukan semasa penjanaan elektrik waktu puncak.

“Pengawasan skrin untuk memastikan sama ada skrin tersumbat atau tidak dilakukan di bilik kawalan di stesen janaelektrik Sultan Yussuf di Batu 19. Paras air tasik dan skrin alur masuk dipantau petugas mengikut giliran pada setiap masa,” katanya.

PENGOREKAN MENDAPAN

Selain itu, Mustafa berkata pengorekan pasir, selut dan sampah dilakukan di tiga lokasi utama iaitu di hadapan skrin alur masuk Bertam, di muara Sungai Ringlet dan muara Sungai Habu dengan Sungai Bertam.

Bagi memastikan air mengalir deras, empangan-empangan kecil dibina untuk menyekat mendapan dan pasir daripada memasuki tasik dengan hasil pengorekan di empangan kecil itu dibawa ke tempat pelupusan mendapan di Sungai Jasin, tidak jauh dari kawasan tasik.

Kerja-kerja pembersihan dengan pengorekan dan “raking” melihat pihak TNB mengeluarkan perbelanjaan tinggi, dengan RM80 juta dibelanjakan untuk kos pengorekan utama mendapan kelodak, iaitu sekali pada setiap lima tahun. RM20 juta lagi dibelanjakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan tahunan. Tinjauan mendapati kerja pengorekan pasir dari dalam sungai dijalankan dan timbunannya yang membukit di tebing sungai membuktikan bahawa keadaan sungai sememangnya sudah nazak; dicemari mendapan selain warnanya yang sangat keruh.

TEBING SUNGAI

Sebenarnya, jalur tanah bersebelahan kedua-dua tebing sungai sudah diwartakan sebagai tanah rizab sungai, sebagaimana termaktub menurut Seksyen 62 Kanun Tanah Negara.

Jaluran tanah dirizabkan itu bertindak sebagai penampan di antara sungai dan tanah bersebelahan, bertujuan melindungi sungai daripada aktiviti tidak diingini yang boleh menjejaskan fungsi sungai.

Keluasan jaluran tanah rizab bergantung kepada kelebaran sungai yang mengalir di tengah-tengahnya. Tanah rizab sungai itu tidak sepatutnya diduduki mahupun dibina struktur sementara atau kekal, dan ditanam dengan sebarang tanaman untuk memastikan keselamatan manusia terjamin terutamanya bila hakisan sungai dan musibah banjir melanda.

Namun realiti di kawasan berkenaan berbeza keadaannya kerana tebing sungai sebelum kejadian banjir lumpur di Lembah Bertam kerana wujud aktiviti menanam sayur dan penempatan manusia di sekitarnya.

Air Sungai Bertam yang mengalir ke dalam Tasik Ringlet sepanjang lebih 25 kilometer dari hulu ke hilir sungai dan didapati lebih enam kilometer tanah bersebelahan sungai itu berpenghuni dan terdapat aktiviti manusia.

“Air sungai di sini penuh dengan bahan yang mencemari kejernihannya dan saya rasa hanya 30 peratus kandungan sungai itu air.

“Selebihnya mendapan kelodak dan pasir. Itu sebabnya warna air sungai dan keadaannya tidak dapat dikelaskan sepertimana sungai-sungai lain di negara ini,” komen seorang lelaki yang bekerja tidak jauh dari Habu, ketika ditemui.

LANGKAH ATASI MASALAH

Mendapan yang melitupi kedalaman dasar asal Tasik Ringlet itu mengakibatkan Empangan Hidroelektrik Sultan Abu Bakar tidak dapat menjana elektrik sepenuhnya mengikut kapasiti.

Pada malam kejadian paras air di empangan didapati hanya kurang satu meter daripada paras maksimum dan sekiranya air mencecah paras maksimum empangan, pasti ia membawa risiko lebih besar.

Menyedari masalah banjir yang boleh membawa banyak kesan buruk kepada kehidupan dan harta benda, kerajaan bertindak pantas bagi mengatasi masalah seumpamanya berulang.

Kerajaan dalam Bajet 2014, yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 25 Okt, meluluskan peruntukan sebanyak RM40 juta bagi melebarkan dan mendalamkan Sungai Bertam.

Punca Tragedi Banjir Lumpur Lembah Bertam, Cameron Highland

Hampir dua minggu selepas negara digemparkan dengan tragedi banjir lumpur cameron highlands yang meragut tiga nyawa, segala aspek teknikal terus dipersoal dan diteliti.

Namun mungkinkah wujud elemen perbuatan manusia yang menyumbang kepada tragedi itu.

Jika berterusan, ia dikhuatiri mengundang malapetaka lebih besar kepada penduduk lembah bertam pada masa depan.

 

 

Rizab Sungai Lembah Bertam, Cameron Highland Rakus Diteroka

Kelihatan jelas, aktiviti pertanian yang semakin tidak terkawal di Lembah Bertam.

Malah, kegiatan pertanian turut melepasi kawasan rizab sungai sepanjang laluan Sungai Ringlet.

Ini sekaligus menyebabkan laluan sungai itu, kian sempit.

Difahamkan, rizab sungai sepatutnya berada 20 meter dari tebing sungai, namun rakus diteroka bagi tujuan pertanian.

Malah, empangan di Lembah Bertam adalah satu-satunya empangan di Malaysia yang mempunyai pembangunan di kawasan pelepasan air empangan, dikuatiri mampu mencetus situasi bahaya kepada penduduk.

Punca kehadiran pasir dan keladak ke Tasik Ringlet turut kelihatan, disebabkan oleh hakisan lereng bukit-bukit yang ditarah bagi membuka kawasan pertanian baru.

UTAMAMendapan Jejas Keupayaan Tasik Ringlet Takung Air

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium