MIDF: Pelabur asing jual ekuiti bernilai RM451 juta minggu lepas

Pelabur luar pesisir meningkatkan aktiviti jualan bersih di Bursa Malaysia minggu lepas, melanjutkan tempoh jualan minggu ke-7 berturut-turut, menurut MIDF Research.

Berdasarkan nota penyelidikan yang dikeluarkan hari ini, ia berkata, berdasarkan data daripada Bursa, dana asing menjual RM451 juta bersih ekuiti tempatan minggu lepas, julan keluar bersih asing mingguan terbesar dalam tempoh 9 minggu.

Terdapat kebalikan jualan oleh pelabur asing pada Selasa dan badan penyelidikan itu mengaitkannya dengan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dari 3.25% hingga 3.00% oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk merangsang pelaburan dan aktiviti perbelanjaan domestik.

Bursa tempatan terdorong oleh perkembangan itu untuk ditutup 0.4% lebih tinggi pada 1,639 mata, Selasa, satu-satunya hari sepanjang minggu yang menunjukkan peningkatan. Pelabur asing kembali ke trend jualan pada Rabu, dengan menjual RM75.1 juta bersih berikutan kebimbangan mengenai ketegangan perdagangan AS-China.

Tahap jualan bersih asing meningkat kepada RM382.5 juta pada Khamis, jumlah tertinggi dalam sehari pada tahun ini. Kebimbangan meningkat menjelang tarikh akhir Jumaat apabila AS menaikkan tarif ke atas barangan China bernilai AS$200 bilion dari 10% ke 25%.

“Aliran keluar bersih asing yang besar itu selari dengan perkembangan di pasaran serantau lain, iaitu Thailand, Indonesia, Filipina dan Taiwan,” kata MIDF Research.

Dana antarabangsa masih menjual ekuiti tempatan pada Jumaat, tetapi pada kadar lebih rendah, iaitu sebanyak RM130.5 juta bersih berikutan perbincangan perdagangan hari pertama antara AS dan China yang tidak menghasilkan kemajuan yang ketara.

Dari segi bulan ke bulan, Malaysia mencatatkan aliran keluar bersih asing sebanyak RM527.4 juta pada Mei 2019. Ini membawa jumlah aliran keluar bersih asing dari Malaysia tahun ini kepada RM3.28 bilion.

Loading...