Mohamed Satim Pertikai Cadangan Khalid Anjur Himpunan Malawati - pakdin.my

Satim Diman

Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Mohamed Satim Diman mempertikaikan cadangan Yang Dipertua PAS Shah Alam, Khalid Samad untuk menganjurkan satu perhimpunan besar-besaran (Himpunan Malawati) di Stadium Malawati bagi menjelaskan tujuan sebenar perarakan Bersih pada 9 Julai lalu.

Menurutnya, tindakan itu dianggap sengaja dilakukan untuk mencetuskan semula keadaan huru-hara di negara ini.

“Dulu memang kita benarkan mereka mengadakan perhimpunan di stadium bawah pemerintahan pembangkang tapi mereka berkeras untuk adakan di Stadium Merdeka.

“Kali ini mereka ingin berhimpun sekali lagi… tapi adakah perhimpunan itu akan memberikan apa-apa kesan? Bagi saya ia hanya perhimpunan yang sia-sia,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Serdang mendakwa, pihak pembangkang mempunyai agenda tersendiri untuk memecah-belahkan perpaduan kaum di Malaysia dan ingin menunjukkan kepada dunia luar bahawa keadaan politik di negara ini tidak stabil.

“Jika pemimpin politik yang profesional, mereka tidak akan bertindak sebegitu. Mereka sengaja ingin menimbulkan masalah,” jelasnya.

Terdahulu, Khalid yang Ahli Parlimen Shah Alam memberitahu satu perhimpunan besar-besaran akan diadakan segera sebelum Ramadan bagi menangkis gambaran negatif kerajaan Barisan Nasional berhubung perarakan Bersih minggu lalu.

Beliau mencadangkan, perhimpunan itu nanti turut akan dihadiri Datin Paduka Marina Mahathir dan ahli keluarga Allahyarham Baharudin Ahmad (ahli PAS) selain mengadakan program solat hajat, ceramah, penerangan serta memanggil penganjur Bersih.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw menyokong cadangan tersebut dan menggesa pihak polis mempertimbangkan hasrat mereka untuk mendapatkan permit bagi berhimpun secara aman.

“Jangan kita halang dan guna kekerasan terhadap mereka yang ingin mengadakan perhimpunan secara aman dan dilakukan atas sebab munasabah.

“Kita juga akan benarkan sesiapa saja termasuk Umno jika mereka ingin buat suatu perhimpunan asalnya ia dilakukan dengan niat baik,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Menurut beliau, perhimpunan yang dicadangkan itu akan diteruskan bagi menyuarakan tuntutan terhadap kerajaan supaya melaksanakan pilihan raya bersih dan adil seperti yang dilakukan pada 9 Julai lalu.

“Kita semua mahukan pilihan raya bersih dan adil. Malah kita beri jaminan ia akan diadakan secara aman di Stadium Malawati nanti,” ujarnya.

UTAMAPOLITIKMohamed Satim Pertikai Cadangan Khalid Anjur Himpunan Malawati

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium