MT Orkim Harmony: Lapan Lanun Di Tahan

Kongsi:

mt-orkim-harmony-8-lanun

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesahkan lapan lanun warga Indonesia yang disyaki merampas kapal tangki MT Orkim Harmony ditahan oleh pihak berkuasa Vietnam berhampiran Pulau Tho Chu di selatan negara itu awal pagi Jumaat.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Madya Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata, penahanan ini dilakukan ketika mereka dipercayai cuba meloloskan diri daripada buruan aset-aset kapal dan udara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta APMM.

“Kesemua suspek ditangkap selepas menceroboh perairan Vietnam dengan menaiki bot dan kini berada dalam tahanan pihak berkuasa Kepulauan Tho Chu.

“Kita sedang mendapatkan kerjasama Vietnam menerusi pejabat Peguam Negara dan Kementerian Luar untuk membawa kesemua suspek ke Malaysia bagi membolehkan siasatan lanjut dilaksanakan,” katanya pada sidang media Operasi Mencari dan Menyelamat MT Orkim Harmony di ibu pejabat APMM di sini, Jumaat.

Ahmad Puzi berkata, APMM akan membuat siasatan secara menyeluruh yang memberi fokus kepada kejadian penculikan dan cubaan merompak kapal MT Orkim Harmony.

“Selain itu, tumpuan turut diberikan kepada kejadian perompak melepaskan diri daripada pengawasan pihak berkuasa dan sindiket rompakan yang merangkumi latar belakang suspek, dalang dan identiti pembeli minyak,” katanya.

Kesemua 22 anak kapal MT Orkim Harmony tersebut dibebaskan pada kira-kira 2.30 pagi Jumaat namun salah seorang daripada mereka yang merupakan tukang masak warga Indonesia cedera ditembak ketika kapal itu dirampas pada 11 Jun lalu.

Kapal tangki berkenaan kini meneruskan perjalanan ke Pelabuhan Kuantan, Pahang diiringi oleh KD Handalan dan dijangka tiba pada pukul 2 pagi Sabtu.

Kapal MT Orkim Harmony yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta dilaporkan hilang pada pukul 8.57 malam, 11 Jun lepas ketika dalam perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan.

Kapal yang dimiliki oleh Syarikat Magna Meridian Sdn Bhd itu membawa 22 anak kapal terdiri 16 rakyat Malaysia, lima Indonesia dan seorang Myanmar.

Kongsi:

Terkini

Sering dibaca

Dari FB Najib Razak

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.