Mufti Perak minta kerajaan PH jangan layan ICERD - pakdin.my

Kerajaan PH didesak untuk bertanggungjawab memelihara amanah ummah agar mempertahankan keluhuran perlembagaan yang telah disepakati lebih 50 tahun lalu.

Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria berkata, adalah menjadi satu keperluan bagi rakyat di negara ini mempertahankan kedaulatan negara daripada sebarang anasir dalaman dan luaran yang berhasrat menggugat keamanan negara ini.

“Cadangan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dalam Malaysia akan menafikan kesepakatan kontrak sosial yang sudah lama dipersetujui antara kaum negara ini sejak mencapai kemerdekaan pada 1957.

“Kesepakatan kontrak sosial akhirnya menatijahkan kejayaan setiap kaum dan etnik terhadap peranan masing-masing terhadap kemajuan dalam negara ini di mana semangat yang ditonjolkan adalah hasil daripada ketinggian dan keluhuran perpaduan kaum yang diikat dan dimeterai dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

“Peranan Bumiputera Melayu Islam sebagai penduduk asal di negara ini diperakui berasaskan catatan sejarah sebagai satu bangsa yang sentiasa menyanjung tinggi nilai toleransi dan kesantunan bermasyarakat,” katanya dalam satu kenyataan rasmi pada Isnin.

Tambahnya, sikap menolak diskriminasi terhadap kaum dengan menerima kedatangan mereka ke negara ini sebagai bukti layanan yang terhasil daripada nilai dan budi kaum Bumiputera Melayu Islam.

“Sikap yang dizahirkan ini adalah lahir daripada kesepaduan iman, amal dan adat tradisi ketimuran diasuh, disemai dan dididik oleh agama dan nilai budi Melayu supaya menghormati nilai kemanusiaan walaupun berbeza bangsa, kaum, bahasa, budaya dan adat resam.

“Sesuatu yang tidak boleh disangkal bahawa hasil daripada sikap toleransi tersebut, maka adalah wajar kedudukan Agama Islam dan ketuanan Melayu seperti yang telah disepakati terutamanya Perkara 3(1) dan 153 Perlembagaan Persekutuan tidak sepatutnya dipertikaikan dan dicabar,” katanya.

Katanya lagi, ia kerana hal berkenaan sudah disepakati secara bersama dan bijaksana oleh pemimpin terdahulu dengan mengambil kira kepentingan semua kaum.

“Maka, pihak kerajaan seharusnya tidak memperdulikan cadangan ICERD ini kerana jika dibiarkan untuk dipolemikkan atas apa jua tujuan akan mengundang rasa tidak puas hati dan perpecahan ketara antara kaum,” katanya.

https://pakdin.my/tag/icerd

UTAMAGAYA HIDUPAGAMAMufti Perak minta kerajaan PH jangan layan ICERD

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium