Muhyiddin hadap Agong, persembah senarai Kabinet baharu

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bagi mempersembahkan senarai barisan Jemaah Menteri baharu kerajaan.

Menurut kenyataan daripada Pejabat Perdana Menteri, Muhyiddin dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong pada jam 11 pagi ini.

Kenyataan tersebut juga menyebut, Muhyiddin dijangka mengumumkan senarai Jemaah Menteri baharu pada jam 5 petang ini setelah mendapatkan perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Pengumuman tersebut akan mengambil tempat di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.

Pada Ahad, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata Muhyiddin memberikan bayangan bahawa barisan menteri Kabinet yang akan dilantik merupakan mereka yang melepasi tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Berkongsi intipati perbualan di kediaman Perdana Menteri itu, Dr Mohd Asri berkata, setiap calon menteri yang akan menganggotai Kabinet Muhyiddin juga diminta memberikan maklumat yang sahih mengenai sijil akademik mereka.

Sebelum ini, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau mahu mereka yang dilantik membentuk Jemaah Menteri hanya terdiri daripada pemimpin yang berintegriti.

Pada 1 Mac lalu, Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

Istiadat angkat sumpah tersebut menamatkan kemelut politik yang melanda negara sejak 22 Februari lalu.

Berkaitan

Leave a Reply

Terkini

Popular