Sunday - July 25, 2021 @ 16:56
NASIONALSARAWAKMuhyiddin Tiba Untuk Lawatan Kerja Tiga Hari Ke Sarawak

Muhyiddin Tiba Untuk Lawatan Kerja Tiga Hari Ke Sarawak

Tan Sri Muhyiddin Yassin disambut oleh penyokong-penyokong Barisan Nasional (BN) sebaik sahaja tiba dalam rangka lawatan kerja beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini, hari ini. Turut sama Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud (kiri)
Tan Sri Muhyiddin Yassin disambut oleh penyokong-penyokong Barisan Nasional (BN) sebaik sahaja tiba dalam rangka lawatan kerja beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini, hari ini.
Turut sama Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud (kiri)

KUCHING — Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadiri jamuan malam serta mengadakan taklimat persiapan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) negeri sejurus tiba untuk lawatan kerja tiga hari ke Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri itu mengadakan perjumpaan tertutup dengan pemimpin BN negeri di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Jalan Bako, di sini.

Perjumpaan tersebut disertai Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud merangkap Pengerusi BN dan Presiden PBB, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan Ikom dan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Dr James Masing.

Di Sarawak, pilihan raya umum akan datang hanya melibatkan 31 kerusi Parlimen dan tidak kerusi Dewan Undangan Negeri kerana pilihan raya negeri itu telah diadakan pada 16 April 2011.

BN negeri mempunyai 29 kerusi, termasuk PBB 14, SUPP lima, SPDP empat kerusi dan PRS enam kerusi manakala parti pembangkang DAP menguasai dua kerusi iaitu Bandar Kuching dan Sibu.

Pada Isnin, Muhyiddin akan melawat ahli keluarga mendiang Datuk Temenggong Kanang Langkau di Kampung Sungai Apong Baru, di sini sebelum menghadiri majlis santai bersama penduduk Kampung Sungai Apong Baru di Dewan Masyarakat kampung berkenaan.

Beliau kemudiannya dijadual merasmikan Medan Niaga Satok di Jalan Matang, Petra Jaya, sebuah projek kerajaan persekutuan bernilai RM46.6 juta yang kini dibawah seliaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

Timbalan Perdana Menteri juga akan menemui penjawat awam negeri dan persekutuan di sebuah hotel di sini sebelum menghadiri majlis himpunan dan santai bersama belia di Pusat Rekreasi Bersepadu Kuching (KIRC).

Pada sebelah malamnya, Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BBN, akan menghadiri majlis himpunan rakyat 1Malaysia di Pekan lama Siniawan di Bau, dekat sini.

Pada Selasa, Muhyiddin akan melakukan tinjauan mesra dan bersarapan pagi dengan usahawan dan pemimpin komuniti perniagaan Cina di RH Plaza, Jalan Stutong, Kuching sebelum ke Sibu untuk menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di Dewan Suarah, Sarikei.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, akan menghadiri majlis perhimpunan Guru Muda 1Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Sacred Heart di Sibu, majlis terakhir sebelum pulang ke Kuala Lumpur petang yang sama.

Berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here