Mukhriz perlu henti putar belit fakta mengenai Cambridge Analytica – Azrin Zizal - pakdin.my

Bekas pegawai media kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengesahkan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu menggunakan khidmat syarikat penganalisis data, Cambridge Analytica pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) secara peribadi.

Azrin Zizal berkata, sudah tiba masanya bekas Menteri Besar Kedah itu berhenti daripada memutar belitkan fakta untuk menyelamatkan diri, sebaliknya bersikap jujur kepada semua pihak.

Katanya, kenyataan Mukhriz sebelum ini mengenai khidmat nasihat Cambridge Analytica untuk kempen PRU-13 di Kedah tidak benar.

“Mukhriz berkata saya menjadi pegawai media beliau sehingga 2013, dan saya tidak lagi bersamanya ketika menjadi Menteri Besar Kedah. Ini semua tidak benar.

“Saya bekerja untuk Mukhriz dalam menyediakan nasihat strategi dan komunikasi kepadanya sehingga 2015 termasuk ketika PRU-13. Saya sedia membuktikan perkara ini.

“Mungkin, ketika Mukhriz berterusan menafikan tugas saya untuknya dan manfaat yang diperoleh daripada Cambridge Analytica, beliau juga menafikan kemenangan tambahan di enam kerusi Parlimen di Kedah, selain memenangi semula Kedah sekali gus menjadi Menteri Besar?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Azrin berkata, dakwaan Mukhriz kononnya Barisan Nasional (BN) menggunakan khidmat Cambridge Analytica adalah tidak benar.

“Tidak sama sekali BN atau kerajaan mengupah atau bekerjasama dengan Cambridge Analytica atau syarikat induknya, SCL Group.

“Khidmat nasihat untuk Kedah pada PRU-13 hanya disediakan untuk Mukhriz secara peribadi,” katanya.

BH semalam melaporkan BN tidak pernah menggunakan khidmat, mengupah atau membayar syarikat penganalisis data berkenaan sama ada sekarang atau sebelum ini untuk membantu kempen parti itu dalam pilihan raya umum (PRU).

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan bagaimanapun berkata, wakil negara bagi SCL Group mengesahkan kepada kerajaan bahawa Cambridge Analytica memberi nasihat secara peribadi kepada Mukhriz pada PRU-13.

Bagaimanapun, Mukhriz dalam kenyataan di akaun Twitter rasminya semalam, menafikan pernah menggunakan khidmat Cambridge Analytica selain menegaskan Azrin hanya bertugas sebagai pegawai medianya di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada 2009 hingga 2013.

Sebelum ini, pegawai kanan firma perunding data berkenaan, mengaku kepada saluran Channel 4, di London, bahawa syarikat itu pernah campur tangan dalam pilihan raya di beberapa negara, termasuk di Malaysia.

Eksekutif kanan Cambridge Analytica itu juga mengaku merasuah, mengupah bekas pengintip serta pelacur Ukraine untuk memerangkap ahli politik di seluruh dunia.

————
Rujukan:
https://pakdin.my/cambridge-analytica-tiada-kaitan-dengan-kerajaan-disediakan-secara-peribadi-kepada-mukhriz/

UTAMAPOLITIKMukhriz perlu henti putar belit fakta mengenai Cambridge Analytica - Azrin Zizal

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium