Muktamar Tahunan PAS: UMNO utuh di hati rakyat

KUALA LUMPUR 5 Jun – Pas mengakui bahawa UMNO masih kuat memenangi hati dan fikiran rakyat walaupun sebelum ini lantang menguar-uarkan bahawa parti itu bakal menggantikan UMNO untuk memimpin Putrajaya.

Hakikat itu disahkan sendiri Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar apabila beliau berkata, parti itu tidak akan berupaya mengganti UMNO jika gagal memenangi hati dan fikiran rakyat.

“Kita tidak akan mampu menggantikan UMNO dan memimpin Putrajaya jika Pas tidak berjaya menguasai hati dan fikiran rakyat terutamanya orang Melayu.

“Kita mesti mengambil hati dan fikiran UMNO yang ada dalam hati dan fikiran rakyat jika mahu impian ke Putrajaya tercapai,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan Pas Ke-57, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mahfuz memberitahu, dalam konteks untuk menguasai Putrajaya, Pas tidak boleh hanya bercakap soal kuasa politik sehingga meminggirkan hati dan fikiran para pengundi keseluruhannya.

Sehubungan itu, beliau berkata, semua pemimpin Pas perlu menampilkan imej yang baik dan bersih, kerana ia jalan terbaik untuk memenangi hati rakyat.

“Kita tidak mampu untuk bersaing dengan UMNO dari segi pembangunan dan pemberian projek. UMNO mempunyai sumber yang banyak dan mereka boleh berbuat demikian tetapi kekuatan kita ialah imej.

“Imej yang bersih dan baik ini perlu dikekal serta dipertingkatkan. Penampilan baik boleh meninggalkan bekas dan kesan di hati mahu pun fikiran rakyat,” katanya.

 

Comments (No)

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.